Malaysia akan terus sokong UNRWA - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sesi temu bual khas bersama Al Jazeera Mubasher, yang dirakam secara tangkap layar melalui siaran video di Facebook rasminya hari ini. Foto: Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sesi temu bual khas bersama Al Jazeera Mubasher, yang dirakam secara tangkap layar melalui siaran video di Facebook rasminya hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat dan akan meningkatkan sokongan jika perlu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil mengesahkan solidariti Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin, beliau mengecam keputusan beberapa negara untuk menghentikan pembiayaan berikutan Israel mendakwa pekerja agensi itu terlibat dalam serangan ke atas rejim berkenaan pada 7 Oktober lepas.

"Setiap keputusan jelas dan ternyata berat sebelah. Apa yang dikatakan oleh Israel adalah penting. Ramai yang terkorban, kematian bayi sudah tidak lagi relevan (buat mereka).

"Ramai terkorban, kanak-kanak kehilangan nyawa, wanita dibunuh dan anda hanya menjadikan satu atau dua sebab teknikal, walaupun ada asasnya, anda tidak boleh berhenti memberi bayi makanan," katanya ketika ditemu bual dalam program Al Jazeera Mubasher di sini pada Jumaat

Anwar turut menekankan mengenai sikap hipokrit dan dwistandard mereka yang menyokong kebebasan dan keadilan tetapi jelas bercanggah dengan pendirian mereka apabila bercakap tentang kebebasan rakyat Palestin.

Beliau berkata apa yang berlaku satu pengalaman ngeri pada zaman moden yang menyaksikan masyarakat antarabangsa dan mereka yang berkuasa, khususnya di Barat boleh terus membenarkan pembunuhan bayi dan wanita di Gaza.

"Saya rasa sungguh sukar untuk menerima kepura-puraan itu. Cukup menjijikkan jika anda boleh terus melihat orang dibunuh dan langsung tidak memberi kesan kepada perasaan anda. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemanusiaan," katanya.

Walaupun sekadar sebuah negara kecil, Anwar berkata Malaysia telah mengambil pendirian yang kukuh dan tidak berbelah bahagi, termasuk tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan melarang kapal Israel berlabuh di pelabuhannya.

Artikel Berkaitan:

"Ini satu-satunya cara kami untuk menyatakan sokongan kami. Selain itu, sudah tentu bantuan kemanusiaan dan cuba membawa bayi dan wanita yang cedera untuk dirawat di hospital kami di sini," katanya.

Beliau berkata Malaysia telah melakukan apa yang termampu dan pasti tanpa ragu-ragu menyokong sebarang inisiatif yang diambil oleh dunia Islam, khususnya Arab dan negara jiran lain untuk menghentikan pencerobohan Israel di Gaza.

Anwar berkata beliau telah membincangkan secara langsung situasi di Gaza dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, walaupun menyedari keterbatasan Malaysia sebagai sebuah negara kecil.

"Tetapi sudah tentu beliau fikir ia seorang pemimpin dari negara kecil yang tidak penting, namun tidak mengapa. Saya tetap memainkan peranan saya. Saya perlu menyampaikan hasrat majoriti rakyat Malaysia. Islam atau Hindu atau Buddha atau Kristian di negara ini, kami percaya kepada kebebasan, belas kasihan dan hak asasi manusia," katanya.

Israel telah membunuh lebih daripada 27,000 orang di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt. Serangan tentera peceroboh turut menyebabkan ramai penduduk diusir, kemusnahan besar-besaran dan ancaman kebuluran. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!