Operasi buru tahanan warga asing lari diteruskan
TAPAH - Operasi mencari tahanan warga asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor dekat sini diteruskan malam ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi tidak dihentikan dengan pencarian kekal ditumpukan di kawasan berhampiran dalam jarak radius 5 kilometer.
Menurutnya, operasi dijalankan melibatkan 400 anggota pelbagai agensi termasuklah polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), unit udara polis dan Unit Anjing Pengesan (K9).
"Kita jangka mereka ini tidak pergi jauh lebih-lebih waktu malam kerana untuk bergerak agak susah, tambahan pula sudah masuk hari kedua, mereka mungkin akan lapar dan keluar (dari tempat bersembunyi).
"Jadi kira harap ada berita baik, operasi digerakkan akan dapat lagi menangkap saki baki yang masih melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Sementara Bidor pada Jumaat.
Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Setakat jam 8.30 malam, media melaporkan enam daripada keseluruhan yang melarikan diri berjaya diberkas semula.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, semua yang berjaya ditahan semula telah ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tapah bagi siasatan lanjut.
Katanya, seramai 435 tahanan yang tidak melarikan diri telah berjaya dipindahkan ke depot Imigresen lain bagi tujuan keselamatan selain memberi ruang siasatan terperinci dilakukan.
"Siasatan dalaman akan dijalankan bersama agensi-agensi lain yang berkaitan sebelum mengeluarkan laporan. Cadangan penambahbaikan juga akan diangkat ke Kementerian Dalam Negeri.
"Saya akan bawa berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi apakah hala tuju seterusnya sama ada depot ini perlu ditambah baik fasiliti ataupun tindakan-tindakan lain, bergantung keputusan kementerian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!