Sinar Harian lakar sejarah tersendiri
SHAH ALAM - Sinar Harian melakar sejarahnya tersendiri apabila membawakan laporan meluas bagi pemilihan umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 Indonesia sehingga 14 Februari ini.
Ketua Pengarangnya, Zamri Rambli berkata, pembaharuan itu merupakan inisiatif akhbar berkenaan untuk melebarkan sayap dalam pelaporannya, sekali gus meraikan sistem demokrasi Indonesia.
“Jika selama ini laporan Sinar Harian mengenai Pemilu dan Pilpres diambil daripada sumber berita agensi, namun kali ini pengurusan akhbar menghantar wartawan dan juruvideo ke negara itu untuk memulakan laporan sendiri.
“Apa yang lebih penting, laporannya nanti adalah dari kaca mata Sinar Harian dan sesuai dengan isu-isu semasa yang terkait hubungan Malaysia dan Indonesia,” katanya pada Jumaat.
Dalam pada itu Zamri memaklumkan, laporan Pemilu dan Pilpres yang dibawakan Sinar Harian akan dijenamakan sebagai Pesta Demokrasi Indonesia dengan dua jenis laporan iaitu di Malaysia dan Indonesia.
Menurutnya, pasukan editorial Sinar Harian telah digerakkan ke Jakarta beberapa hari lalu untuk melakukan temu bual eksklusif bersama calon, tokoh, pensyarah, diaspora Malaysia di Indonesia termasuk penduduk negara itu.
“Selain itu kita turut menganjurkan Berani Semuka iaitu program debat mempertemukan wakil-wakil parti Indonesia di Malaysia yang mendukung calon-calon Presiden.
“Wakil-wakil parti ini sebenarnya memang aktif dalam aktiviti dan kempen mereka di sini (Malaysia) lantaran terdapat hampir satu juta pengundi berdaftar yang bakal membuang undi nanti,” ujarnya.
Berani Semuka Pilpress 2024: Indonesia Pilih Siapa Ahad ini turut mendapat kerjasama Kedutaan Indonesia di Malaysia menampilkan enam wakil calon iaitu dua orang daripada setiap pasukan calon Presiden.
“Untuk menambahkan kemeriahan pentas Berani Semuka, Sinar Harian menjemput rakyat Malaysia dan Indonesia di Lembah Klang untuk hadir ke Kompleks Kumpulan Karangraf di Shah Alam bagi menyaksikan secara langsung debat sempena Pesta Demokrasi Indonesia ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!