Gigih belajar mengeja, membaca guna Braille
KOTA BHARU - Sebahagian orang kurang upaya (OKU) buta di Pusat Pertubuhan Orang Cacat Malaysia Cawangan Kelantan menganggap diri baru sahaja belajar mengeja berikutan mengalami masalah penglihatan ketika pertengahan usia.
Mereka perlu mempelajari tulisan Braille dan perlu mengenali titik tulisan itu bagi membolehkan mereka membaca.
Mayasuri Hassan, 55, berkata, penglihatannya mula kabur pada usia 14 tahun akibat penyakit saraf belakang retina.
Katanya, ketika itu, dia sempat mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), namun kini sudah tidak dapat melihat.
"Kami sudah tidak boleh membaca buku atau majalah lagi.
"Sukarnya untuk mengenal Braille hanya ALLAH yang tahu kerana mata kami pernah normal ketika muda," katanya.
Mayasuri yang juga Penyelaras Modal Insan Persatuan Orang Buta Malaysia, Cawangan Kelantan memberitahu perlu mempelajari Braille supaya berpeluang menambah pengetahuan melalui pembacaan menggunakan Braille.
"Kami diajar oleh guru pendidikan khas dari sebuah sekolah yang begitu memberi komitmen supaya kita dapat 'mengeja' dan 'membaca'," katanya.
Sementara itu rakannya, Nor Nadia Sophia Mat Nafi, 35, mengakui sangat sukar untuk mengenali 'titik buta' Braille dan perlu menghafalnya.
"Walaupun sukar saya nekad belajar Braille supaya dapat membaca untuk menambah pengetahuan terutama al-Quran," katanya.
Nor Nadia mengalami masalah rabun kira-kira tiga tahun lalu akibat komplikasi kencing manis.
Bekas pelajar sebuah maktab pengajian Islam di bandar ini mula belajar tulisan Braille pada Julai tahun lalu di pusat berkenaan.
Sementara itu, ibu bapa yang mahu menggalakkan anak-anak belajar dan menambah ilmu berkaitan Braille boleh menghubungi persatuan itu untuk tujuan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!