Tangan budak perempuan tersepit di pemegang eskalator
SUBANG JAYA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun berjaya diselamatkan setelah tangan kanannya tersepit di pemegang eskalator di sebuah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), di sini, pada Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 10.33 malam.
"Seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan tangan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Operasi itu turut dibantu oleh pihak penyelenggaran sehingga mangsa berjaya diselamatkan, kanak-kanak tersebut diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!