Rela ada keupayaan, kuasa jaga tahanan di depot

Rela membantu semua kawalan operasi keselamatan bukan sahaja di peringkat jabatan, tetapi di premis.
Rela membantu semua kawalan operasi keselamatan bukan sahaja di peringkat jabatan, tetapi di premis.
A
A
A

TAPAH - Keupayaan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menjaga tahanan warga asing di depot Imigresen tidak perlu dipertikai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, Rela membantu semua kawalan operasi keselamatan bukan sahaja di peringkat jabatan tetapi di premis.

"Rela adalah lapisan kedua dan sebagai entiti yang sah dari segi undang-undang, mereka memang ada kuasa.

"Jadi tidak ada isu kenapa serah kepada Rela (kawalan di depot) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Sementara Bidor pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa pihak yang mempertikaikan peranan anggota Rela bertugas mengawal di pusat terbabit susulan kes 131 tahanan merusuh dan melarikan diri.

Dalam kejadian itu, dua anggota Rela cedera kerana dipukul dan dibaling batu sebelum tahanan melarikan diri.

Ruslin mengakui rusuhan dan rempuhan yang berlaku amat sukar untuk ditangani kerana dilakukan secara beramai-ramai oleh tahanan.

"Kawalan keselamatan daripada pegawai dan anggota Imigresen sendiri ramai dan kita tempatkan Rela di setiap penjuru blok tahanan di sini.

Artikel Berkaitan:

"Cuma kalau sudah ramai (tahanan) datang serentak iaitu dalam 30 hingga 40 orang sekali gus, keadaan itu sukar untuk kita tangani," katanya.

Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Setakat jam 8.30 malam, media melaporkan enam daripada keseluruhan yang melarikan diri berjaya diberkas semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!