Terima rumah SMJ selepas 4 tahun berteduh dalam pondok
PAPAR - Selepas empat tahun berteduh di sebuah pondok yang hanya berdindingkan papan lapis dan khemah, seorang pekerja kantin bersama keluarganya akhirnya dapat mendiami rumah lebih selesa selepas disenaraikan sebagai penerima program rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Biau, di sini pada Jumaat.
Raymund Ohchoi, 52, memaklumkan mereka sekeluarga kehilangan rumah pusaka selepas musnah dalam kebakaran yang berlaku pada September 2019.
"Rumah yang saya duduki sebelum ini adalah rumah pusaka keluarga namun musnah sepenuhnya selepas berlaku kebakaran menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang.
"Selepas kejadian itu, saya hanya membina sebuah pondok dengan menggunakan papan lapis sebagai dinding serta khemah hasil ihsan bantuan orang ramai," katanya ketika ditemui selepas menerima kunci rumah daripada Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali di sini.
Katanya lagi, disebabkan kurang berkemampuan untuk mendirikan rumah yang sempurna menyebabkan dia terpaksa membuat permohonan untuk mendapatkan rumah SMJ tersebut.
"Alhamdulillah, tahun lepas saya dimaklumkan bahawa permohonan diluluskan dan akhirnya kami dapat mendiami rumah selesa kini," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Hasmi Saprim, 49, berkata, permohonan kali ketiga bagi mendapatkan rumah daripada kerajaan akhirnya diterima menerusi program rumah SMJ.
"Sebelum ini saya tiada rumah sendiri dan kami enam beranak terpaksa menumpang di rumah bapa saya.
"Alhamdulillah tercapai hasrat untuk tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa," katanya yang hanya berniaga sate di Pekan Papar.
Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, sebanyak 60 rumah di bawah program SMJ diperuntukan di Parlimen Papar pada 2023.
"Setakat hari ini daripada 60 rumah tersebut, 33 rumah telah siap sepenuhnya manakala 24 rumah lagi dalam proses lebih 80 peratus dan tiga unit di bawah 50 peratus kemajuannya.
"Antara sebabnya ada yang masih belum siap disebabkan isu kordinasi tahun lalu atas perkara tidak dapat dielakkan di mana senarai tersebut agak lewat dimuktamadkan.
"Selain itu terdapat isu berbangkit lain seperti penama tidak mempunyai tanah langsung untuk mendirikan rumah, ada pula yang mempunyai tanah tetapi disebabkan isu tapak tanah belum diurus dengan baik termasuk perlu ditimbus.
"Kita maklum mereka ini orang susah dan peruntukan untuk rumah SMJ hanya untuk mendirikan rumah, mereka perlu mengumpul wang untuk membuat penimbusan dan sebagainya," katanya.
Armizan berkata, pihaknya menjangkakan kesemua 60 rumah SMJ itu akan dapat disiapkan sepenuhnya menjelang hujung Februari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!