Polis buru 121 tahanan warga asing lolos
TAPAH - Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini, berjaya ditahan semula setakat pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, operasi hari ketiga diteruskan bagi mengesan baki 121 tahanan melibatkan kerjasama semua agensi keselamatan.
"Tujuh tahanan ditahan pada Jumaat manakala dua lagi tahanan ditangkap pagi ini (Sabtu).
"Kesemua tahanan berusia 17 hingga 35 tahun kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan seramai 131 PATI melarikan diri dari blok lelaki depoh itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya berhampiran.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya dan 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan termasuk melalui bantuan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pengoperasian depot berkenaan kini ditutup sementara bagi membolehkan operasi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dilaksanakan sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!