Houthi lancar peluru berpandu balistik di Israel
SANAA - Kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran berpangkalan di Yemen mengumumkan telah melancarkan peluru berpandu balistik di bandar Israel, Eilat pada Jumaat.
Memetik laporan Reuters, Houthi mengancam meneruskan operasi ketenteraan sehingga Israel menghentikan serangan di Gaza.
"Memperjuangkan rakyat Palestin yang tertindas, yang sehingga saat ini terus menjadi mangsa kepada keganasan Israel. Pasukan peluru berpandu Angkatan Bersenjata Yemen telah menjalankan operasi ketenteraan menentang sasaran tertentu musuh Israel di kawasan Umm al-Rashrash, di selatan Palestin yang diduduki, dengan beberapa peluru berpandu balistik," kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea.
Tegas beliau, angkatan bersenjata Yemen berpegang kepada komitmen untuk memperjuangkan tugas menegakkan agama, moral dan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang tertindas sekali gus sebagai tindak balas untuk membebaskan seluruh penduduk Islam.
Tentera Israel sebelum ini memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara "Arrow" mereka telah menghalang peluru berpandu sasar ke kawasan Laut Merah pada Jumaat.
Houthi telah melancarkan siri serangan ke atas kapal dan sasaran lain di kawasan Laut Merah sebagai tindakan solidariti dengan rakyat Palestin.
Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa peperangan Israel-Hamas mampu menggoyahkan kestabilan Timur Tengah secara keseluruhan. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!