Nahas tujuh kenderaan: Dua pemandu treler maut, laluan masih terhalang

Muatan gula dan logam bertaburan menutup laluan kedua-dua arah.Foto Bomba Perak
Muatan gula dan logam bertaburan menutup laluan kedua-dua arah.Foto Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Dua dilaporkan maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di laluan Simpang Pulai-Gopeng di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, kedua-dua mangsa maut merupakan pemandu treler masing-masing membawa muatan gula dan barangan logam.

Bagaimanapun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

Kejadian melibatkan tiga treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta.Foto Bomba Perak
Kejadian melibatkan tiga treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta.Foto Bomba Perak

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat diterima memaklumkan kejadian melibatkan tiga treler, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta.

"Dua pemandu didapati tersepit dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mereka segera dijalankan.

"Bagaimanapun kedua-dua mangsa telah meninggal dunia. Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, nahas turut mengakibatkan seorang mangsa patah tangan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Operasi menyelamat masih dilakukan di lokasi kejadian oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dengan bantuan Gopeng selepas menerima panggilan pada jam 7.46 pagi," katanya.

Laluan lebuh raya ditutupi gula selepas treler membawa muatan gula terbabit dalam nahas tujuh kenderaan.Foto Bomba Perak
Laluan lebuh raya ditutupi gula selepas treler membawa muatan gula terbabit dalam nahas tujuh kenderaan.Foto Bomba Perak

Kejadian mengakibatkan aliran trafik sesak dan kenderaan tidak bergerak selepas muatan gula dan logam bertaburan menutup laluan kedua-dua arah.

PLUS menerusi aplikasi X meminta kenderaan yang datang dari arah utara keluar di Plaza Tol Simpang Pulai manakala dari selatan keluar di susur Gopeng bagi mengelak kesesakan lebih teruk.

Setakat jam 9.30 pagi, kerja-kerja pengalihan dan pembersihan kemalangan masih dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!