FAMA Melaka sasar buka dua pasar tani baharu

Nor Azhar (dua dari kiri) bergambar bersama sebahagian penerima Anugerah Amat Setia sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani ke-39 peringkat negeri di Pasar Tani Masjid Tanah, pada Sabtu.
Nor Azhar (dua dari kiri) bergambar bersama sebahagian penerima Anugerah Amat Setia sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani ke-39 peringkat negeri di Pasar Tani Masjid Tanah, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) Melaka akan menambah dua lokasi baharu pasar tani bagi memastikan pengguna mendapatkan bekalan makanan mencukupi pada harga berpatutan.

Pengarahnya, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, lokasi baharu di Taman Maju, Jasin dan Ayer Molek di daerah Melaka Tengah itu mula beroperasi pada April depan, sekali gus menunjukkan kemudahan tersebut masih relevan untuk rakyat mendapatkan barang keperluan.

Menurutnya, meskipun zaman berubah, namun kewujudan pasar tani di negeri ini sejak 39 tahun lalu memberikan banyak manfaat kepada rakyat termasuk bilangan peserta bertambah daripada 38 orang pada tahun 1986 kini mencecah seramai 264 peserta yang ditempatkan di tujuh lokasi pasar tani.

Malah katanya, nilai jualan pasar tani juga bertambah pada tahun lalu dengan merekodkan RM6.45 juta termasuk pasar tani Jasin mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM2.9 juta berbanding tahun sebelumnya.

"Dengan pertambahan dua lagi pasar tani, peningkatan jualan daripada RM6 juta dijangka meningkat kepada RM8 juta nilai jualan pasar tahun ini.

"Pasar tani masih menjadi pilihan pengguna cuma isu kadang-kadang jatuh bangun pasar tani bergantung pada tempat selain cabaran pasar raya baharu di sesebuah kawasan," katanya.

Azhar berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program jualan Agro Madani sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani ke-39 peringkat negeri di Pasar Tani Masjid Tanah di sini, pada Sabtu.

Nor Azhar (empat dari kiri) ketika melawat gerai jualan peserta di Pasar Tamu Masjid Tanah, pada Sabtu.
Nor Azhar (empat dari kiri) ketika melawat gerai jualan peserta di Pasar Tamu Masjid Tanah, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pelbagai pengisian yang diadakan sempena ulang tahun pasar tani termasuk jualan promosi telur ayam RM10, set kombo Madani RM10, jualan promosi daging segar RM35 sekilogram(kg) dan ayam segar RM8.30kg selain 150 kampit berasr Putih tempatan 10kg pada harga RM26.

"Dalam tempoh setengah jam sahaja 150 kampit beras habis dijual kepada pengguna dan kita menyasarkan nilai jualan RM50,000 sempena sambutan ulang tahun ini.

"Selain itu kita juga menyasarkan untuk mengadakan sebanyak 400 program Jualan Agro Madani sepanjang tahun ini dengan sasaran RM4juta nilai jualan," katanya lagi.

Pada program itu pihaknya turut menyampaikan Sijil Anugerah Amat Setia kepada lima peserta pasar tani yang telah lebih 30 tahun mendapat bimbingan FAMA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!