Tahanan lolos kelaparan, datang masjid minta air
TAPAH - [DIKEMAS KINI] Tahanan warga asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini dikesan mula keluar dari kawasan persembunyian akibat kelaparan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ada kalangan mereka memberanikan diri datang ke masjid untuk meminta minuman daripada jemaah.
"Kejadian ini berlaku lebih kurang jam 7 pagi tadi, dua tahanan datang ke Masjid Batu Melintang dan meminta air daripada kariah di situ.
"Tangkapan ke atas dua tahanan ini dilakukan orang awam sebelum memaklumkan kepada polis," katanya dalam sidang akhbar di Depot Imigresen Sementara Bidor pada Sabtu.
Beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 10 tahanan lolos berjaya diberkas semula dengan satu tangkapan terbaru di Kampung Orang Asli Sementa yang berada pada kedudukan radius 12 kilometer dari depot tahanan.
Katanya, berdasarkan perkembangan itu, operasi mencari menfokuskan rumah kosong, balai raya, masjid dan surau serta perkampungan Orang Asli yang berkemungkinan menjadi lokasi tahanan berlindung.
Ujar beliau, risikan juga dilakukan ke atas penempatan warga asing di sekitar Tapah yang disyaki menjadi tempat tumpuan tahanan meminta bantuan.
"Sudah hampir tiga hari, mereka mungkin sudah keletihan menjadikan keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman agak tinggi.
"Peranan orang awam sangat membantu dalam operasi ini. Maklumkan apa sahaja pergerakan mencurigakan atau sekiranya rumah dihadiri mereka yang meminta bekalan makanan dan minuman, segera laporkan kepada polis berdasarkan nombor telefon yang diwar-warkan sebelum ini," katanya.
Ruslin berkata, lokasi pencarian kini diperluaskan dengan melakukan penambahan 100 anggota Imigresen dari seluruh negara yang akan melapor diri esok.
Jelasnya, Jabatan Imigresen juga secara rasminya membuat penutupan sementara depot Imigresen di Bidor dengan tahanan terakhir dipindahkan jam 11 malam pada Jumaat.
"Perkembangan operasi mencari semakin baik dengan kerjasama semua pihak. Pasukan mencari semakin bergerak jauh membantu mengesan dan menangkap kembali tahanan terlibat.
"Jadi saya ingatkan jangan sesiapa cuba memberi perlindungan kepada tahanan yang lari ini. Jika dikesan, mereka akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!