Geran penerbangan rancak sektor pelancongan
MELAKA - Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menyarankan syarikat penerbangan dan pengusaha pelancongan mengambil peluang inisiatif geran penerbangan yang diwujudkan kerajaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, geran tawaran penerbangan itu dapat merancakkan kehadiran pelancong luar negara termasuk mencapai sasaran kemasukan lima juta pelancong dari China ke negara ini.
Menurutnya, insentif geran juga akan diberikan kepada syarikat sedia ada untuk menambah kekerapan penerbangan selain inisiatif menyediakan laluan baharu bagi menambah kemasukan pelancong luar negara.
"Ini antara tiga pilihan yang ditawarkan untuk menambah jumlah pelancong termasuk negara China yang hanya mencatatkan kehadiran 1.4 juta pelancong sebelum ini.
"Contoh kita dapat pertingkatkan penerbangan daripada dua penerbangan seminggu kepada empat. Dulu penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur tapi akan wujud laluan baharu ke Pulau Pinang atau Kota Kinabalu pula," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records 'Largest Lighting Event in Water Theme Park' dan 'First Lighting Event in Water Theme Park' yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Melaka Wonderland Theme Park and Resort di Ayer Keroh di sini pada malam Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland, Seow Cheng Swee.
Ammar berkata, penganjuran Tahun Melawat Negeri (TMN) di Melaka, Perlis, Perak dan Kelantan pada tahun ini akan menarik dan memeriahkan kedatangan pelancong, secara tidak langsung menjadi kayu ukur kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menurut beliau, sudah pasti setiap negeri TMN termasuk Melaka akan mempromosikan dan mempelbagaikan produk pelancongan mereka yang mana mewujudkan situasi persaingan sihat di antara negeri.
"Empat-empat negeri ini akan menjadi kayu ukur dan salah satu momentum kita untuk bersama-sama kerajaan negeri menjayakan TMM2026.
"Saya juga yakin pada tahun ini akan ada negeri-negeri lain yang akan turut sama melaksanakan tahun melawat di negeri masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!