Pengguna mengeluh, belanja barang keperluan semakin meningkat

Rata-rata pengguna mengeluh mengenai kenaikan harga barangan keperluan. Gambar hiasan Bernama
Rata-rata pengguna mengeluh mengenai kenaikan harga barangan keperluan. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbelanjaan kebanyakan isi rumah di ibu kota meningkat 50 peratus dan memerlukan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk keperluan barangan asas.

Seorang pengguna, Khadijah Mohd Shahdy, 35, berkata, kenaikan tersebut dikesan sejak pandemik Covid-19 dan semakin dirasai kebelakangan ini apabila belanja dapur mingguan mencecah RM200 berbanding RM100 sebelum ini.

Menurutnya, jika perlu dia terpaksa menolak belanja makanan tambahan anak-anak bagi mengurangkan bajet perbelanjaan tersebut.

Khadijah
Khadijah

"Belanja bulanan RM800 tapi jika mahu lebih jimat terpaksa kurangkan makanan tambahan anak-anak, dapatlah kurang kos menjadi RM500.

"Ini hanya libatkan perbelanjaan makanan sahaja, jika barangan lain seperti lampin pakai buang dan keperluan lain perlu tambah RM200 lagi, " katanya sewaktu tinjauan kos sara hidup di sekitar ibu kota, pada Sabtu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, suami terpaksa berkorban dengan bekerja syif malam bagi membolehkan mereka menguruskan anak-anak memandangkan masing-masing bekerja.

"Jika tak buat begitu, kami perlu tanggung kos pengasuh sebanyak RM500 sebulan dan pengangkutan anak ke sekolah RM200.

Artikel Berkaitan:

"Anak-anak juga bawa bekal ke sekolah bagi menjimatkan perbelanjaan. Kami peruntuk wang saku seorang anak hanya RM5 sehari, mereka ada minta lebih tapi tak mampu nak sediakan kerana takut melebihi bajet," katanya.

Seorang lagi pengguna yang ditemui, B Kumaresan, 42, berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan dia menguruskan kewangan secara berhemah dengan tidak berbelanja secara berlebihan.

Kumaresan
Kumaresan

"Melihat keadaan ekonomi sekarang, saya dan isteri lebih banyak menyimpan dengan mengurangkan pembelian barangan yang tidak perlu.

"Bajet untuk bercuti atau makan di luar juga kami kawal. Kami juga tidak tambah komitmen, tak ada beli kereta baharu dan pakai selagi boleh bergerak," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Tengku Mohd Safwan Tengku Md Yusof, 38, mengakui kos sara hidup meningkat disebabkan harga barang asas seperti ayam, beras, bawang naik mendadak ketika ini.

Dia terpaksa membeli barangan itu di kedai atau pasar raya tertentu yang menawarkan harga lebih murah.

Tengku Mohd Safwan
Tengku Mohd Safwan

"Untuk makanan asas perbelanjaan sebulan lebih RM500, seminggu kalau belanja paling rendah RM100. Itu kiraan kasar kalau kira secara terperinci jumlahnya lebih daripada itu.

"Itu pun banyak potong makanan ringan anak, apabila ada promosi baru beli," katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berharap, kerajaan memandang serius isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini seperti mengawal harga barangan asas agar berpatutan dan setara dengan gaji.

"Sebagai pengguna memang terasa kenaikan. Jika dulu beras 10kg hanya RM26 tetapi sekarang mencecah RM40. Disusuli pula kenaikan tarif air, elektrik dan kini ura-ura gula pula, semuanya 'pakat' naik.

"Saya faham kerajaan tengah buat pelarasan gaji, tapi prosesnya mungkin mengambil masa sedangkan isu kenaikan barang terpaksa dihadapi setiap hari.

"Apabila fikir pasal kenaikan harga barang, mental pun boleh koyak tapi perlu hadapinya dengan kawal perbelanjaan memandangkan hanya saya seorang bekerja sementara isteri suri rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!