Keluarga Bella lantik peguam pemerhati

Shamsul Iskandar (dua dari kiri) menziarahi keluarga Bella di Taman Soga pada Sabtu.
Shamsul Iskandar (dua dari kiri) menziarahi keluarga Bella di Taman Soga pada Sabtu.
A
A
A

BATU PAHAT - Keluarga Mila Sharmilah Samsusah, 32, atau Bella yang dibunuh secara kejam, sudah melantik peguam pemerhati.

Norhisham Samsusah, 36, berkata, peguam berkenaan iaitu Aminatul Mardiah dibantu Hafidzah Hassan akan memastikan perbicaraan kes di mahkamah berjalan lancar.

Katanya, perbicaraan kes terhadap tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 24, akan bermula pada 19 Februari ini selepas bacaan pertuduhan pertama pada 24 Januari lalu.

"Ramai yang menawarkan khidmat bantuan guaman ini dan keluarga memilih mereka berdua berdasarkan kriteria perkhidmatan diberikan.

"Tawaran yang diberikan juga adalah percuma," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di Taman Soga di sini pada Sabtu.

Gambar Norhisham (kanan) bersama peguam pemerhati yang dikongsi di laman Facebook.
Gambar Norhisham (kanan) bersama peguam pemerhati yang dikongsi di laman Facebook.

Dalam pada itu, Norhisham atau Ayu memberitahu, dua anak Bella, Eusuf, 4, dan Maream, 1, kini berada dalam jagaan ibunya, Noraini Salleh, 54, selain dibantu seorang pengasuh.

Norhisham turut berkongsi kisah Eusuf yang kerap bertanya tentang ibunya kerana masih belum memahami apa yang terjadi.

Artikel Berkaitan:

"Eusuf cuma bertanya tentang ibunya ketika ahli keluarga berkumpul beramai-ramai dan sesekali tersebut pasal kisah Bella.

"Selepas 11 hari pengebumian Bella, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi namun agak terkilan dengan cara kematiannya sahaja," katanya.

Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu selepas keluar ke dobi bersama teman lelakinya dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Laporan kehilangan Bella dibuat ahli keluarganya pada 16 dan 18 Disember tahun lalu, selepas wanita itu gagal dihubungi.

Norhisham bersama Eusuf ketika ditemui di Taman Soga Batu Pahat pada Sabtu.
Norhisham bersama Eusuf ketika ditemui di Taman Soga Batu Pahat pada Sabtu.

Susulan itu, lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella direman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka tersebut sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!