Cari dana sendiri selepas 30 tahun menyewa

Azmi (dua dari kiri) menunjukkan kerepek yang dijual ahli Pertubuhan Orang Cacat Malaysia Cawangan Kelantan.
Azmi (dua dari kiri) menunjukkan kerepek yang dijual ahli Pertubuhan Orang Cacat Malaysia Cawangan Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Orang Cacat Malaysia Cawangan Kelantan berusaha menganjurkan jualan amal untuk mengutip dana bertujuan membina sebuah bangunan selepas hampir 30 tahun menyewa premis.

Pengerusi pertubuhan itu, Azmi Abdul Manaf turut mengakui pegumpulan dana sangat perlahan dan tidak sampai RM100,000 sejak dilaksanakan pada 1990-an.

Menurut beliau, bangunan dianggarkan kira-kira RM800,00 itu dicadangkan dibina di atas sebuah tanah sumbangan kerajaan di Bachok.

"Pelbagai usaha kami lakukan termasuk memohon dana daripada golongan korporat dan individu selain penganjuran jualan amal ini," katanya ketika ditemui.

Azmi memberitahu, buat masa ini mereka menyewa sebuah premis dengan kadar RM850 sebulan.

Bagaimanapun katanya, bangunan sendiri lebih mudah dan menjimatkan kerana dana yang ada boleh disalurkan untuk pelbagai program membabitkan ahli.

"Hari ini kami ada 10 ahli yang menjual pelbagai jenis makanan kering, pewangi, sabun, sos, gula dan gandum," katanya lagi.

Jelas beliau, jualan kali pertama itu sebagai percubaan menarik lebih ramai pelanggan dan akan diteruskan pada minggu pertama setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap hasrat untuk mempunyai bangunan sendiri dapat menjadi realiti kerana OKU terbabit mungkin boleh tinggal di asrama dan melakukan aktiviti untuk menjana pendapatan.

Tambahnya, selain jualan amal, mereka turut mengadakan majlis minum petang bersama ahli dan mengedarkan tabung supaya dapat menambah jumlah sumbangan.

"Alhamdulillah, ramai ahli yang menyumbang seikhlas hati di samping derma daripada golongan korporat," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh terus melalui nombor akaun 100 6631 0000 5975 0 (Agrobank) atau menghubungi Azmi di talian 0189141656.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!