Harapan palsu lebih teruk daripada putus asa - Nooryana

Nooryana Najwa (kiri), Najib
Nooryana Najwa (kiri), Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa meluahkan rasa kecewa selepas Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman terhadap bapanya hanya dikurangkan enam tahun lebih awal selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Nooryana berkata, harapan palsu adalah lebih teruk.

“Ia lebih teruk daripada berputus asa,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, wujud khabar angin itu juga menyatakan pelbagai spekulasi termasuk wujud pihak yang mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendapat pengampunan dan bakal dibebaskan.

Bagaimanapun, segala teka-teki terjawab apabila Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Pada 30 Januari lalu, Nooryana memuat naik hantaran dan menzahirkan kerinduan dan sentiasa menanti kepulangan bapanya.

Nooryana berkata, dia sentiasa menunggu kepulangan bapanya itu tidak kira berapa lama pun terpaksa menunggu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!