Pengampunan Najib: Ambiga gesa PH tidak keluar sebarang kenyataan
SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan susulan pengumuman Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, parti berkenaan hanya perlu mendiamkan diri dan jika bersuara ia akan mengganggu untuk mempertahankan perkara yang tidak dapat untuk dipertahankan.
“PH tolonglah, jangan keluarkan sebarang kenyataan lagi. Senyap sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).
Dalam pada itu, Ambiga turut menegaskan agar PH tidak lagi berbicara tentang perjuangan menentang rasuah.
“Jangan sesekali bercakap tentang perjuangan menentang rasuah lagi. Kalian telah membuang masa, tenaga dan niat baik kami,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!