Telco diminta segera atasi aduan pengguna di seluruh negara

Fahmi (dua dari kiri) menunjukkan peta perjalanan ketika Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat bagi menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih dari Sungai Karang sehingga ke Felda Bukit Goh pada Sabtu.
Fahmi (dua dari kiri) menunjukkan peta perjalanan ketika Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat bagi menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih dari Sungai Karang sehingga ke Felda Bukit Goh pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Semua penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi diminta segera bertindak sekiranya terdapat aduan talian daripada pengguna di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli berkata, ini bagi membolehkan kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat tindakan penambahbaikan terhadap setiap laporan yang diterima.

Menurutnya, SKMM bersama agensi terlibat kini sedang menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat untuk menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih.

"Pahang merupakan lokasi ketiga selepas dua sesi terdahulu diadakan di ibu negara, melibatkan perjalanan dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 9 Januari lalu. Sesi kedua di Melaka River Cruise pada 26 Januari.

"SKMM akan terus memantau perkara ini sepanjang suku pertama tahun ini dan akan mengemukakan laporan kepada Kementerian Komunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Ujian Panggilan Suara di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh, pada Sabtu.

Fahmi bersama beberapa agensi terlibat bagi menjalankan ujian di sepanjang laluan dari Sungai Karang menuju ke PEDi Felda Bukit Goh dengan melalui beberapa jalan dan kawasan utama di Kuantan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri SKMM, Bukhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Suhaimi Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Fahmi (dua dari kiri) menaiki bas agensi terlibat menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat untuk menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih dari Sungai Karang sehingga ke Felda Bukit Goh pada Sabtu.
Fahmi (dua dari kiri) menaiki bas agensi terlibat menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat untuk menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih dari Sungai Karang sehingga ke Felda Bukit Goh pada Sabtu.

Fahmi memaklumkan terdapat 8 juta daripada 44 juta pengguna akaun yang melanggan perkhidmatan 5G di seluruh negara.

Tambah beliau, jumlah itu dijangka meningkat selepas pengumuman daripada semua syarikat pengendali telekomunikasi bahawa mereka tidak akan mengenakan caj tambahan kepada perkhidmatan terbabit.

"Ini bermaksud lebih kurang 22 atau 23 peratus dan ia peningkatan yang baik dan sihat tapi kita mesti lakukan sesuatu untuk tingkatkan penggunaan 5G," katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan dengan kerjasama SKMM sedang berusaha menyelesaikan masalah liputan 5G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan di negeri itu.

"Perbincangan lanjut akan diadakan dengan SKMM dan pihak Digital Nasional Bhd (DNB) untuk kita teliti apa yang boleh dilakukan. Ia akan dilakukan pada kadar segera bagi membolehkan lebih banyak menara dapat menyediakan perkhidmatan 5G.

“Seperti mana sedia maklum keseluruhan di seluruh negara... kita telah capai sehingga 80.2 peratus capaian kawasan berpenduduk,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu Pahang lebih 65 peratus perkhidmatan 5G sudah mendapat capaian ini.

Jelasnya, banyak lokasi sudah mendapat permintaan bagai capaian tersebut termasuk di Parlimen Lipis.

“Jadi bagi kawasan mendapat liputan rendah kita akan terus bekerjasama dengan pihak telekomunikasi bagi atasi masalah tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!