Hormati keputusan Lembaga Pengampunan, jangan terlanjur komen - Fahmi

Fahmi ketika melawat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, pada Sabtu.
Fahmi ketika melawat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli menegaskan semua pihak seharusnya menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, keputusan terbabit tidak sewajarnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Jelasnya, perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang tidak boleh dipersoal di Mahkamah.

"Saya percaya di pihak kerajaan, kita ambil maklum reaksi sama ada yang setuju, atau yang tak setuju. Cuma kita pohon semua (pihak) untuk menghormati, kerana ini adalah kuasa Tuanku.

"Tidak boleh dipersoal di mahkamah. Kalau di mahkamah tidak boleh dipersoal, saya pohon supaya kita hormat keputusan ini," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berkaitan desakan orang ramai yang mahu tahu alasan kepada pemberian Pengampunan Diraja kepada bekas Perdana Menteri itu di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, akhbar tempatan melaporkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Beliau dipenjarakan sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Perkara 42(1) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya.

Fahmi turut memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak terlanjur memberikan pandangan terhadap isu tersebut sehingga menyentuh isu berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.

Jelasnya, perbuatan itu membolehkan pihak polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan.

"Jadi, saya bagi peringatan kepada semua jangan lah kita sehingga berlaku pelanggaran undang-undang, adab, tatasusila dan jangan menyentuh isu 3R.

"Ini peringatan yang saya bagi kepada semua dan sekiranya ada mana-mana pihak yang menguji sistem itu, maka tindakan boleh diambil," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!