Nelayan Perlis bakal wujud stesen minyak mudah alih
KUALA PERLIS - Persatuan Nelayan Negeri Perlis (Pelaris) bakal mewujudkan stesen minyak mudah alih menerusi projek Portable Container System (PCS) dengan usaha sama Bousted Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol).
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha itu dijangka membantu meningkatkan pendapatan persatuan itu.
“PCS merupakan stesen minyak mudah alih yang dapat membekalkan petroleum secara sementara di kawasan-kawasan yang dibenarkan oleh kerajaan. Pemilikan tanah untuk projek PCS itu diluluskan oleh LKIM kepada persatuan nelayan ini semasa saya menjadi Pengerusi LKIM sebelum ini (2018-2020).
“Projek ini dilihat sebagai satu peluang bijak yang diambil oleh Pelaris sebagai badan yang menjaga kebajikan nelayan di samping dapat meningkatkan pendapatan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata, PCS juga memberi manfaat kepada nelayan menerusi penjimatan kos mobiliti kerana tidak perlu lagi bergerak jauh untuk mendapatkan bahan api.
"Projek PCS ini, insya-ALLAH akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat pada tahun ini bagi memudahkan nelayan untuk mendapatkan bekalan minyak di kawasan berhampiran," katanya yang turut memaklumkan terdapat lebih 4,000 nelayan di Perlis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!