Tekong darat dicekup seludup PATI di perairan Tanjung Piai
PONTIAN - Seorang tekong warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menyeludup keluar empat pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Tanjung Piai, pada Jumaat.
Sebelum itu, bot fiber tidak bernombor dinaiki mereka dikesan pada kedudukan 1.6 batu nautika barat daya Tajung Piai, pada jam 8 malam.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot fiber terbabit bertindak memecut laju menuju perairan Indonesia apabila melihat kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
"Bertindak pantas bot fiber tersebut berjaya dipintas, pemeriksaan menemukan empat lelaki warga Indonesia berumur 25 tahun hingga 38 tahun bersama seorang tekong warga tempatan berumur 48 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati kesemua warga Indonesia terbabit cuba keluar dari perairan Malaysia menuju ke Tanjung Balai, Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, bot fiber dan kesemua suspek dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai dan diserahkan kepada Unit Siasatan Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor bagi siasatan lanjut.
"Kesemua warga Indonesia terbabit akan disiasat dibawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959 bagi kesalahan keluar masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sementara, bagi tekong warga tempatan pula akan disiasat dibawah Seksyen 26B Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," ujarnya.
Tegas Nurul Hizam, Maritim Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyeludup masuk atau keluar pendatang asing melalui jalan yang tidak diwartakan di perairan negeri Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!