21 individu termasuk 19 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu

Seramai 21 individu termasuk 19 warga Thailand ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membabitkan tiga agensi penguat kuasa di sekitar Jeti Pulau Duyong. - Foto: Maritim Terengganu
Seramai 21 individu termasuk 19 warga Thailand ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membabitkan tiga agensi penguat kuasa di sekitar Jeti Pulau Duyong. - Foto: Maritim Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 21 individu termasuk 19 warga Thailand ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membabitkan tiga agensi penguat kuasa di sekitar Jeti Pulau Duyong dekat sini tengah malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kesemua suspek ditahan berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun dan bekerja sebagai kru nelayan tempatan.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati 13 suspek termasuk dua warga tempatan positif dadah jenis methamphetamine.

"Operasi dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu pada 12 tengah malam tadi.

"Selain ujian urin, pemeriksaan juga mendapati lapan warga Thailand tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Mereka diserahkan kepada JIM Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairulanuar berkata, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara ini demi keselamatan serta kesejahteraan komuniti. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!