Karbon sifar bersih: Kerajaan sedang siapkan dokumen LT-LEDS - Nik Nazmi
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menyiapkan dokumen strategi jangka panjang pembangunan rendah karbon (LT-LEDS) bagi memastikan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dapat dicapai, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, penyediaan dokumen itu penting untuk menilai prestasi negara dalam mencapai matlamat berkenaan selain membantu melakar perancangan yang sesuai dan berkesan.
"Kita merasakan bahawa ada peningkatan daripada segi perjalanan kita menuju kepada (pelepasan karbon) sifar bersih tetapi belum cukup lagi. Maknanya kalau kita mengharapkan dasar-dasar sedia ada, tak cukup, kita perlu pergi lebih jauh.
"Kita sedang siapkan dokumen LT-LEDS baru kita tahu bagaimana jauh atau dekat kita dengan sasaran kita menuju sifar bersih...kita tunggu dokumen itu disiapkan kita akan dapat satu laporan teknikal yang terperinci tentang perjalanan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Youth Empowerment Fair 2024 (YEF24) sebagai ahli panel sebuah forum di acara itu pada Sabtu.
Nik Nazmi berkata, antara elemen penting dalam penyediaan LT-LEDS ialah dokumen perancangan pembangunan jana kuasa tenaga oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) yang sedang disiapkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
"... bila ia siap kita boleh masukkan dalam dokumen LT-LEDS untuk kita tahu loji jana kuasa macam mana, berapa banyak gas, solar, yang kita akan gunakan," katanya.
Mengulas mengenai cadangan untuk melaksanakan caj kesesakan bagi mengurangkan pelepasan karbon selain mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar, Nik Nazmi berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan jika sistem pengangkutan awam telah mencapai tahap yang memuaskan
"Kita boleh kaji perkara tersebut bila sudah ada MRT3 (di Lembah Klang)...MRT3 pun belum dimulakan lagi masih di peringkat perancangan...mungkin enam atau tujuh tahun akan datang perkara tersebut boleh dipertimbangkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!