Iran ambil langkah akhir kurangkan komitmen JCPOA
TEHERAN - Kerajaan Iran semalam mengumumkan keputusan untuk mengambil langkah kelima dan terakhir dalam mengurangkan komitmen mereka di bawah Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang ditandatangani bersama kuasa dunia pada 2015.
"Bermula dari saat ini, Teheran tidak lagi mengehadkan lagi operasi ke atas industri nuklear termasuk kapasiti dan tahap pengayaan uranium, jumlah bahan diperkaya serta penyelidikan dan pembangunan mereka," tegasnya dalam satu kenyataan.
Iran turut menegaskan mereka akan meneruskan program nuklear hanya berdasarkan keperluan teknikal.
Ia bagaimanapun memaklumkan akan terus bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) seperti sebelum ini.
"Teheran akan menyambung semula komitmen di bawah perjanjian JCPOA tersebut hanya jika sekatan yang dikenakan ke atas negara itu dihapuskan," kata jurucakapnya.
Pada Mei 2018, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik diri secara unilateral daripada perjanjian nuklear tersebut dan turut mengenakan sekatan lebih tegas terhadap Iran yang memberi impak terhadap perdagangan minyak negara terbabit.
Sebagai respons terhadap langkah sebelah pihak itu, Teheran berikrar untuk mengurangkan komitmen mereka sebanyak empat kali yang dilakukan secara berperingkat pada tahun lalu. - Agensi
Info:
Langkah Iran mengurangkan komitmen perjanjian JCPOA
>Langkah pertama, Teheran meningkatkan stok uranium diperkaya melebihi 300 kilogram yang ditetapkan.
>Di bawah langkah kedua, Iran mula memperkaya uranium melebihi had 3.76 peratus yang dibenarkan.
>Langkah ketiga, kegagalan Eropah untuk mematuhi tempoh akhir selama 60 hari ditetapkan Teheran menyebabkan negara itu memajukan pengempar (centrifuge) untuk meningkatkan simpanan urainium negara dan mengaktifkan 20 IR-4 dan 20 IR-6 centrifuge untuk tujuan penyelidikan serta pembangunan.
>Pada November 2019, Iran mula menyuntik gas ke dalam pengempar di pusat kemudahan Fordow sebagai sebahagian daripada langkah keempat untuk mengurangkan komitmen perjanjian JCPOA di bawah pengawasan IAEA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!