37 tahanan lolos sudah ditahan semula
TAPAH - [DIKEMAS KINI] Seramai 37 warga asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lalu telah diberkas semula setakat ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu termasuk 13 tangkapan terbaharu hasil operasi yang dijalankan pada petang tadi.
Menurutnya, kesemua tahanan itu ditahan hasil maklumat orang awam yang mengesan kehadiran mereka di sebuah ladang jambu dekat Kampung Senta iaitu kira-kira 13 kilometer dari depot tahanan sekitar jam 6 petang.
"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini, seramai 37 tahanan yang meloloskan diri telah berjaya ditahan semula sejak operasi digerakkan pada Khamis," katanya.
Semasa ditemui, semua tahanan itu berada dalam keadaan lesu dan kelaparan selain kesejukan kerana hujan lebat.
Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!