Harimau Kumbang masuk perangkap Perhilitan di Felda Lasah
IPOH - Seekor harimau kumbang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Felda Lasah, Sungai Siput Utara awal pagi tadi.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, harimau kumbang betina dianggarkan berusia empat tahun dengan berat kira-kira 30 kilogram itu dalam keadaan sihat namun terdapat luka di kepala dipercayai akibat melanggar perangkap.
"Perangkap ini dipasang pada 20 November lepas berikutan pihak Perhilitan menerima aduan serangan harimau ke atas ternakan lembu penduduk," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) telah dihubungi untuk tindakan lanjut dan harimau kumbang itu dicadang untuk dilepaskan semula ke Hutan Simpanan Gerik.
Menurutnya, usaha berterusan sedang dirancang dan dilaksanakan dalam menjaga keselamatan penduduk setempat.
"Penangkapan ini juga membuktikan usaha pihak Jabatan Perhilitan membawa hasil dan secara tidak langsung mengurangkan ancaman terhadap ketenteraman penduduk," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!