Populariti sahaja tak cukup tanpa ilmu
SHAH ALAM - Kejayaan pempengaruh media sosial, Khairul Aming menjual 80,000 pek Dendeng Nyet Berapi dalam tempoh tiga minit membuktikan bahawa populariti sahaja tidak mencukupi untuk berjaya dalam perniagaan.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Dr Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman boleh dijadikan sebagai contoh perlu kerana beliau merupakan seorang yang berpendidikan tinggi.
“Saya tidak nafikan, kejayaan Khairul Aming yang berjaya raih RM1.2 juta dalam tempoh tiga minit itu akan membuatkan generasi muda untuk turut sama menjadi pempengaruh dan mula menjual produk.
“Bagaimanapun, menjadi popular sahaja tidak mencukupi untuk kekal relevan dalam dunia perniagaan. Kita boleh lihat contoh sebelum ini, ada artis (memiliki populariti) yang menceburi bidang perniagaan, namun tidak ramai berjaya bertahan dalam industri itu.
“Sebab itu saya katakan, nak bertahan dalam dunia perniagaan perlu ada ilmu pengetahuan. Populariti ini hanya nilai tambah untuk mengembangkan bisnes,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan produk terbaharu Khairul Aming iaitu Dendeng Nyet Berapi terjual sebanyak RM1.2 juta hanya dalam tiga minit dan menjadi jualan terpantas dalam di TikTokShop Malaysia.
Mengulas lanjut, Nik Mohd Hasyudeen berkata, Khairul Aming layak untuk dijadikan sebagai contoh usahawan muda kerana memiliki pengetahuan meluas dalam bidang perniagaan.
Menurutnya, pempengaruh berkenaan tahu menggunakan populariti yang ada untuk menarik orang ramai dengan berkongsi fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam mengeluarkan produk terbaharu itu.
“Khairul Aming ada berkongsi momen perjalanan sebelum dia melancarkan Dendeng Nyet Berapi. Dia melabur sejumlah wang yang besar untuk pengubahsuaian kilang dan membeli kelengkapan mesin serta mengambil masa selama setahun untuk proses R&D.
“Ini membuktikan bahawa dia bukan sekadar memiliki populariti tetapi ada perancangan, berdisiplin dan bijak mengatur kewangan dalam perniagaan,” ujarnya.
Pada masa sama, Nik Mohd Hasyudeen menegaskan agar anak muda tidak mengetepikan perihal pendidikan kerana dengan memiliki pengetahuan ia akan membantu untuk mengatur strategi sebagai seorang peniaga berjaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!