Pemikiran tunjang karya sastera
PADA zaman pascamoden ini, sering diwacanakan karya dari sudut aspek pemikirannya. Pertemuan dan seminar pun membicarakan kedudukan seseorang tokoh itu dari sudut pemikirannya.
Terlihat bahawa pemikiran adalah aspek terpenting dan menjadi dasar pembangunan sesebuah pengkaryaan.
Dalam dunia antarabangsa, karya juga dinilai dari sudut pemikiran untuk memperlihatkan pegangan dan subjektiviti pengarang.
Pemenang pelbagai hadiah sastera, termasuk Hadiah Novel Sastera, menyorot dan menganalisis pemikiran sama ada ia relevan, bernas dan luar biasa sejajar dengan perkembangan sastera dunia.
Tidak syak lagi pemikiran diterima sebagai tunjang dan akar kepada premis penulisan sastera. Sebuah karya atau tokoh, yang tidak menunjukkan kekuatannya dalam aspek pemikiran, dengan sendirinya kedudukannya tidak kuat dan kukuh.
Sebanyak mana pun dia berkarya, tetapi mengabaikan aspek pemikiran, maqamnya tergugat dan akan dipintas oleh penulis lain yang berhemat kepada pemikiran.
Sejak zaman Greek lagi, pemikiran menjadi pusat dan gramatologi teks. Aristotle membina teori Dramatic Construction, sebuah gagasan tentang bagaimana menulis skrip drama yang baik dan pementasan yang bermutu, menggalurkan komposisi pendramaan kepada aspek plot, watak, pemikiran, bahasa dan spektakular.
Seseorang dramatis dalam situasi neurosis membina plot dan watak, akan sekali gus memikirkan tentang pemikiran yang menjadi inti kepada konflik naratif dramatik dan theatrikalitinya.
Tiga kriteria umum pemikiran, tunjangan moral, pendidikan dan pembinaan warga yang menghormati para dewannya.
Sepanjang perkembangannya, pemikiran dominan drama Greek berlegar di sekitar pemikiran hubungan dengan dewa, kesan peperangan, penentangan terhadap kezaliman, perjuangan individu dalam rebutan kekuasaan, hubungan sesama manusia, pembentukan budaya dan tamadun masyarakat Greek.
Dalam genre puisi ia diganti dengan istilah amanat, yang dekat dengan maksud pesanan. Secara implisit ia bersembunyi di sebalik versifikasi teks, di dalam cernaan rima, ritme, metrum dan tipografi.
Penyair menyuarakan weltanschauung, pandangan hidup atau pandangan semesta dan kosmologi dalam amanatnya itu. Dari situ dapat membangunkan sikap pengarang, salah satu struktur batin teks yang penting dalam penulisan sajak.
Teori sastera moden, terutamanya sosiologi dan psikologi, meletakkan pemikiran pada aspek nilai teks. Setelah membicarakan aspek persoalan karya, kedua teori tersebut menimbang neraca kepentingan dan relevansinya terhadap permasalahan masyarakat.
Nilai teks, harus mengandungi ajaran, pegangan, dan jika perlu menghukum masyarakat. Realisme sosialis sebagai dahan teori sosiologi mengemukakan pemikiran tentang perjuangan kelas, yang harus memenangkan golongan marhaen dan proletariat.
PEMIKIRAN
Dalam zaman pascamoden, sosiologi berkembang di bawah sayap teori sastera Marxisme, pemikiran digunakan dengan istilah yang terkenal, iaitu ideologi. Fahaman yang dibentuk oleh sebuah pemikiran, mengandung prinsip perjuangan, yang berisi dengan doktrin, etika dan ajaran.
Gerakan sosialnya bertujuan untuk melumpuhkan kapitalisme, menegakkan kesamarataan sosial dengan karya-karya yang progresif, dinamik dan revolusif.
Pascamodenisme berakar pada pemikiran Derrida, yang memulakan serangan terhadap seluruh tradisi pemikiran rasionalisme Barat, dan mengajak masyarakat melakukan pembongkaran, penggalian dan penyusunan semula segala falsafah dan pandangan terhadap hidup.
Derrida mengemukakan konsep 'logosentrisisme' yang menginginkan sebuah budaya yang rasional yang jitu, dan sempurna untuk mampu melukiskan dunia real. Pemikiran hanya akan muncul hasil perhubungan antara tanda penanda dan petanda.
Dekonstruksi mampu mengupas lapisan konstruksi karya. Sementara dalam difference, Derrida menjelaskan pembeza adalah sebagai mekanisme untuk mengungkapkan apa yang mendasari pemikiran dalam sesebuah teks.
Dalam teori-teori sastera pascamoden, pemikiran paralel dengan istilah mesej. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh karya tersebut? Apakah mesej yang dibincangkan oleh pengarang dalam karya yang dihasilkannya itu? Malah, karya yang bersifat avant-garde dan arrie-garde masih memiliki sebuah mesej, cuma disembunyikan di sebalik alegori, ironi, metafora dan versifikasinya.
Mesej utama sastera pascamoden adalah dalam aspek kekuasaan. Kekuasaan yang terletak pada semua dimensi budaya baik budaya sosial, pendidikan, ekonomi, malah yang utamanya ialah politik.
Teks-teks sastera, secara lazimnya menyentuh semua dimensi kehidupan, termasuk politik yang mempengaruhi sistem pemerintahan negara. Ada waktunya ia berisi protes sosial dan kritikan, yang tujuannya untuk membentuk masyarakat. Anjurannya mempertingkatkan pendidikan. Pandangannya meninggikan taraf ekonomi.
Analisisnya membentuk politik. Kekuasaan kesusasteraan selalu dihubungkaitkan dengan politik dan sejarah, justeru kedua-duanya itu mempunyai pertalian dengan konsep nilai dan tamadun sesuatu bangsa.
MOTIF
Karya sastera yang baik, teradun dalamnya unsur-unsur sejarah dan analisis tentang politik. Mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang ialah aspek kekuasaan pada sesuatu bangsa itu, dengan tujuan untuk melangsungkan survival dan perjungan hidupnya. Tegasnya, kekuasaan kesusasteraan mencorak dan mewarnai pemikiran sastera.
Tidak dinafikan pemikiran juga bersaudara dengan tujuan atau motif karya. Sesebuah karya yang membawa jeritan rakyat, penindasan dan kezaliman dengan tujuan supaya pihak berkuasa menjadi sensitif dan sedar.
Kepincangan masyarakat dan tanpa keadilan sosial untuk memberi amaran dan kecaman terhadap kelalaian sistem pengurusan.
Begitulah mesej atau pemikiran yang dituntut dalam penulisan sastera. Dengan pemikiran yang bernas, jitu dan luar biasa akan menjadikan sesebuah karya itu bermakna dan dapat menggugah jiwa khalayak.
Apa lagi, yang sangat kondusif, relevan dan kontemporari sifatnya, menjadikan khalayak terpesona dan merasa keajaiban karya. Masyarakat sedang berada dalam suatu kesukaran, tiba-tiba pengarang memunculkan pemikiran yang membawa keluar daripada azab kehidupan itu.
Terbukti, tiang yang mendirikan rumah sastera pada zaman moden dan pascamoden ialah pemikiran. Dan dalam mendapatkan sebuah pemikiran yang berwenang, pengarang harus mencari permasalahan dasar dan subjek utama.
Melakukan perjalanan, mencari pengalaman, membuat penyelidikan, dan menanggap persoalan dan permasalahan yang prima dan utama yang dihadapai oleh masyarakat.
Kepada setiap pengarang, terutamanya yang muda, yang baru memasuki dunia sastera, patut sekali memberi perhatian terhadap aspek pemikiran, kerana ia menjadi inti dan paksi sesebuah karya. Fikirkan sedalam-dalam dan semasak-masaknya akan subjek dan pemikiran karya sebelum memulakan penulisan.
Pemikiran menjadi penanda aras pencapaian seseorang pengarang itu.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!