Hak bersuara tapi jangan sampai melampaui batas
PENGURANGAN kadar denda dan tempoh hukuman yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
Ada yang memberikan reaksi positif dan ada juga negatif, bagaimanapun pendapat atau pandangan seseorang mengenai keputusan itu tidak sepatutnya melampaui batas.
Hal ini kerana perkara itu telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Januari lalu.
Maka, tidak sepatutnya ia dijadikan sebagai tiket atau peluang untuk individu mempersendakan keputusan yang telah dibuat.
Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dilaporkan telah membuat hantaran di Facebook dengan menyindir kata putus yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu.
Beliau secara sinis meminta untuk seseorang membawanya ke penjara dan akan memberi RM50 juta sebagai bayaran balik untuk dibebaskan.
Tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu telah menimbulkan kemarahan banyak pihak antaranya Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang dikatakan akan membuat laporan polis berhubung hantaran Tony Pua yang mempertikai keputusan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin mahu bekas Ahli Parlimen Damansara itu memadam hantaran tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurut Mohd Asna, proses pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu telah melalui proses yang teliti tanpa penyalahgunaan kuasa atau tata kelola.
Tambah beliau, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Tony Pua telah gagal menghormati persefahaman yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.
Oleh itu, semua pihak dinasihatkan supaya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan kerana bimbang sekiranya akan memudaratkan diri pada kemudian hari.
Pada 29 Januari, bekas Presiden UMNO itu diberikan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 dan tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!