Tony Pua jangan biadab - Wan Rosdy
KUANTAN - Tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengeluarkan kenyataan biadab memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas sekali menghina sistem perundangan negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan Tony Pua itu juga seolah-olah cuba meraih publisiti murahan apabila beliau dilihat sudah tidak lagi mendapat sokongan rakyat.
Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Damansara itu juga malah ditolak ahli partinya sendiri dan semakin menuju kepada pengakhiran karier politiknya.
"Saya mendesak agar Tony Pua membuat permohonan maaf serta memadam semua hantarannya (Facebook) itu atau berdepan tindakan undang-undang," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Tony Pua dilaporkan memuat naik tiga hantaran bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap diskaun hukuman yang diberikan kepada Najib.
Secara sinis beliau meminta seseorang untuk menghantarnya ke penjara selama setahun dan akan membayar RM50 juta sebagai pertukaran.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, seluruh ahli UMNO dan beliau bersedih dan terkesan dengan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
"Bagaimanapun kita tetap menghormati keputusan tersebut meskipun hasrat untuk melihat bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan penuh tidak menjadi kenyataan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!