'Klang tetap Bandar Diraja bukan Colombia' - Razarudin

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KLANG - "Kita sama sekali tidak benarkan Bandar Diraja Klang ini digambarkan sebagai Bandar Colombia.'

Itu ungkapan tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang menyifatkan gelaran berkenaan dilaporkan beberapa portal yang menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membiarkan persepsi sebegini diteruskan dengan melaksanakan pelbagai operasi dalam usaha membanteras jenayah di bandar ini.

"Stigma itu tercipta selepas laporan beberapa portal berhubung kejadian samun terhadap ejen hartanah sebelum ini.

"Jadi itu yang Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Shuhaily katakan berdasarkan apa yang dilaporkan beberapa portal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Pandamaran di sini pada Ahad.

Menurutnya, beberapa siri operasi dijalankan sejak 15 Januari hingga 1 Februari lalu termasuk serbuan dilaksanakan meliputi tangkapan, pencegahan meliputi dadah, kontraban dan beberapa elemen lain.

"Ini semua bagi menurunkan kadar jenayah bagi menghilangkan tanggapan orang ramai bahawa Klang bukan Bandar Columbia sebaliknya tetap Bandar Diraja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, statistik jenayah menunjukkan Petaling Jaya dan Gombak lebih tinggi berbanding daerah ini.

"Kalau ikut tahun dulu, Gombak, Kajang, Petaling Jaya baharulah Klang Selatan dan Klang Utara ini jatuh bawah dari segi statistik kes jenayah.

"Masyarakat perlu yakin dengan usaha dilaksanakan pihak polis dan saya beri jaminan agar kadar jenayah terus mencatatkan penurunan khususnya di daerah ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di sekitar daerah ini didakwa dihimpit kebimbangan dengan kejadian jenayah selepas Klang diibaratkan sebagai sebuah daerah seperti Colombia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!