Pekerja penyelenggaraan jalan terkejut jumpa mayat dalam longkang
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja penyelenggaraan jalan terkejut selepas dimaklumkan rakannya mengenai penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang ketika mereka melakukan kerja-kerja pembersihan di Jalan Pasir Hor-Pasir Tumboh, Kampung Seribong di sini kira-kira jam 11.30 pagi Ahad.
Mohd Araf Saupi, 25, berkata, dia berdebar dan menggigil melihat mayat dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian tetapi tidak memakai kasut.
"Pada mulanya kami fikir lelaki itu pengsan tetapi keadaan tangan dan kakinya sudah kekuningan, mungkin sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui lokasi itu.
Mohd Araf memberitahu, dia tidak boleh lagi meneruskan kerja kerana masih terkejut walaupun tidak nampak sebarang kesan luka.
Sementara itu, rakannya, Muhammad Musaha, 35, berkata, ketika itu dia melakukan kerja-kerja memotong rumput kira-kira 300 meter dari lokasi penemuan.
"Sebaik sahaja tiba di kawasan longkang setinggi lebih satu meter, saya lihat sekujur tubuh yang tidak bergerak sebelum memaklumkan kepada Mohd Araf," katanya.
"Kami tidak menyentuh mayat lelaki itu tetapi terus menghubungi 999 untuk memaklumkan perkara berkenaan," katanya.
Muhammad memberitahu, mereka memulakan kerja-kerja memotong rumput kira-kira jam 8.30 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan laporan penemuan mayat lelaki itu.
Beliau memberitahu, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HTPZ II) untuk proses bedah.
"Kes sedang disiasat dan identiti juga belum dikenal pasti," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!