Pekerja Indonesia beri roti kepada tahanan lari sebelum lapor Imigresen
TAPAH - Sekumpulan pekerja Indonesia sempat memberi bantuan makanan dan minuman kepada 13 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor sebelum melaporkan kepada Jabatan Imigresen.
Perkara itu dikongsi Ali Manto, 42, selepas menyedari kehadiran tahanan itu yang cuba mendapatkan perlindungan di sebuah rumah dalam ladang jambu di Kampung Senta di sini sekitar jam 5 petang pada Sabtu.
Menurutnya, rasa simpati timbul selepas melihat mereka dalam keadaan lesu dan kelaparan selain basah kuyup kerana kehujanan.
"Tengok keadaan mereka begitu, kami tak cakap banyak terus beri roti dan air teh untuk mereka makan.
"Daripada pakaian dan keadaan diri yang tidak terurus, kami sudah dapat meneka mereka ini tahanan yang melarikan diri.
"Jadi kami biar mereka makan dahulu, berikan tempat untuk berteduh dan selepas itu baru lapor kepada Imigresen," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Ali yang bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran sejak 10 tahun lalu mengakui mempunyai hubungan baik dengan Jabatan Imigresen dan telah dimaklumkan lebih awal kes berkenaan.
Malah sejak kes tahanan melarikan dilaporkan, dia dan rakan kerja lain menjadi mata dan telinga melaporkan setiap pergerakan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
"Saya bantu polis dan Imigresen bukan sebab apa kerana ini tempat kerja kami cari makan. Kami tidak mahu orang lain buat hal, semua pun kena susah," katanya.
Seorang lagi pekerja dikenali John, 30, berkata, pada awalnya kumpulan tahanan itu mengaku sebagai pekerja ladang dan melarikan diri kerana ditipu majikan.
Bagaimanapun ujarnya, tindakan itu tidak berjaya memperdaya mereka.
"Mereka pun tak banyak cakap mungkin sebab keletihan. Mereka hanya maklumkan telah dua hari tidur dalam hutan," katanya.
Setakat jam 12 tengah hari ini, seramai 41 tahanan warga asing yang melarikan diri berjaya diberkas semula membabitkan 39 etnik Rohingya dan dua warga Bangladesh.
Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!