Cuaca panas: Guru, ibu bapa diminta pantau anak-anak

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek
A
A
A

SUNGAI PETANI - Guru dan ibu bapa dinasihatkan untuk memantau keadaan anak mereka semasa negara dilanda cuaca panas akibat fenomena El Nino sekarang ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memantau perkembangan tersebut pada baki beberapa hari persekolahan dan sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa.

Menurutnya, kementerian akan memberi peringatan dan nasihat mengikut keadaan semasa di peringkat sekolah berdasarkan garis panduan yang telah digariskan.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia). Saya mohon ibu bapa dan guru dalam masa empat hari berbaki dan seterusnya apabila cuti sekolah ini mesti pantau lah keadaan anak.

"Jangan lupa minum air, pantau kesihatan anak, Insya-ALLAH tak ada apa-apa, sikit lagi," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Fadlina (tengah) pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2 pada Ahad.
Fadlina (tengah) pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2 pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, di sini.

Fadlina berkata, sejumlah RM45,396,000 BAP diperuntukkan untuk 302,640 orang murid di 750 buah sekolah di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, BAP adalah inisiatif khusus untuk membantu mengurangkan beban persediaan persekolahan sesi baru persekolahan yang bakal menjelang.

"Selain BAP, KPM turut menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk membantu pelajar sekolah termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) untuk semua murid prasekolah KPM, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

"Kesemua bantuan ini menggambarkan keprihatinan KPM untuk mengatasi isu kemiskinan multidimensi dan dalam masa yang sama menoktahkan keciciran dalam kalangan murid," ujar beliau.

Pada Sabtu, METMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Menurutnya, status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!