'Boss Mario tiada musuh, tak pernah hilang' - Adik
MELAKA TENGAH - Ahli keluarga pempengaruh dikenali sebagai Boss Mario merayu bantuan orang ramai untuk mengesan lelaki berkenaan yang dilaporkan hilang di Pantai Klebang sejak awal pagi Jumaat lalu.
Adiknya, Yew Lee Lee, 27, berkata, sehingga kini tiada sebarang petunjuk tentang keberadaan abangnya Yew Boon Xiang, 30, memandangkan telefon bimbitnya juga telah dimatikan.
Lee Lee yang menjalankan perniagaan kedai telefon bimbit bersama abangnya itu berkata, Boon Xiang yang masih bujang dan mesra disapa Mario oleh keluarganya tiada menunjukkan sebarang perubahan sikap selain tidak pernah menghilangkan diri sebelum ini.
“Dalam tempoh terdekat ini dia nampak normal sahaja kerana setahu saya dia tidak ada sebarang masalah kewangan ataupun mempunyai mana-mana musuh.
“Kami mula sedar kehilangannya selepas abang sulung memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) kedai di Klebang dan mendapati Mario menaiki Grab dari rumah kami ke kedai lebih kurang pukul 3 pagi.
“Mario kemudian memandu kereta Honda City miliknya yang berada di ruang parkir kedai sebelum kereta itu kemudian ditemui ditinggalkan di Pantai Klebang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Pertam Jaya, Semabok.
Mengulas lanjut, Lee lee berkata, abangnya sempat menghantar resit pembelian barang pelanggan kedai melalui aplikasi WhatsApp pada pukul 8 pagi Jumaat lalu sebelum dia gagal dihubungi.
Tambahnya, dia juga kesal apabila ada individu tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu dengan meninggalkan komen di media sosial memaklumkan abangnya telah ditemui.
“Abang saya tidak mempunyai musuh dalam perniagaan malah sikapnya disenangi ramai termasuk pekerjanya dan pasportnya juga masih ada di rumah.
"Sejak kehilangannya, ada juga yang menghantar mesej di media sosial mengatakan ternampak Mario di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur namun selepas diperiksa polis ia ternyata palsu," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Mario boleh menghubungi abang sulungnya Yee Boon Teck di talian 016-6176690.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan kehilangan Mario di Pantai Klebang, selepas keluar dari rumahnya di Semabok, kira-kira 3 pagi pagi Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, kereta Mario jenis Honda City ditemukan kira-kira pukul 6 petang hari sama diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci. - Awani
@sinarharianonline 'Boss Mario tiada musuh, tak pernah hilang' - Adik #fyp#SinarHarian#SinarTerkini#Semasa#BossMario#Musuh#Hilang#Adik#Keluarga#Pempengaruh#Melaka#PantaiKlebang Should Have Known (Two AM Music Global) - Sek Hao Ho
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!