Andaian industri buku lenyap tidak benar
SHAH ALAM - Andaian bahawa industri buku akan lenyap disebabkan sikap generasi malas membaca dan wujudnya bahan bacaan baharu dalam talian atau e-book adalah tidak benar.
Penulis buku, Dr Hafidzi Mohd Noor berpandangan, industri tersebut mampu bertahan lama kerana bahan bacaan secara fizikal disifatkan lebih nyata dan pembaca berpuas hati ketika menelaah buku sambil memegangnya.
“Bagi saya, ia (industri buku) akan terus dilestarikan kerana penulisan dalam e-book tidak boleh dipegang. Pembaca mungkin tidak berasa puas untuk membaca menerusi skrin telefon bimbit walaupun mudah diakses.
“Dulu, ramai buat andaian apabila ada e-mel, kita tidak menulis surat lagi. Itu satu jangkaan yang salah.
“Orang tetap menulis surat, misalnya surat cinta atau kad hari lahir. Ia diterima dan akan disimpan sebagai kenangan begitu juga buku,” katanya kepada Sinar Harian ketika sesi temu mesra novelis semasa Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Ahad.
Karnival tersebut bertemakan #RoadToRamadan dengan jualan al-Quran terbesar pernah dianjurkan yang berlangsung bermula 25 Januari hingga 4 Februari di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini.
Pengunjung juga berpeluang menerima potongan diskaun bagi tajuk buku terpilih dan cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,500
Ditanya mengenai cara menarik minat generasi masa kini untuk membaca buku, Hafidzi mencadangkan, pesta buku perlu diadakan lebih kerap dan lakukan anjakan paradigma supaya lebih ramai pengunjung memeriahkan karnival sedemikian.
Tambahnya, setiap pesta buku perlu menyediakan aktiviti yang lebih sesuai buat semua lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak dan warga emas.
“Lokasi penganjuran pesta buku perlu bersesuaian, sebagai contoh ia berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam atau mempunyai tempat letak kenderaan yang banyak.
“Bagaimana kita nak jadikan ia lebih menarik? Mungkin boleh sediakan aktiviti kuiz dengan jawapan yang boleh dicari dalam pameran tersebut dan sesuai dimainkan oleh pelbagai peringkat usia,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!