Penangan harga murah, 500 pek makanan 'licin' dalam masa 3 jam
TEMERLOH - Gerai Western dan Makanan 'Ready To Eat' yang diusahakan tiga beradik di bandar Temerloh dekat sini menjadi tumpuan pengunjung saban minggu kerana penangan harga makanan Barat dan menu popular yang dijual serendah RM3 dan RM5 setiap pek licin dalam masa tiga jam.
Pelbagai jenis pasta seperti spageti, burger, ramen, sandwic, kambing bakar, pulut mangga, Vietnam roll, wanpaku, daging harimau menangis, sup wantan dan 'chicken chop' malah set patin tempoyak turut dijual di gerai tersebut.
Pengusahanya, Hasniwati Che Yusof, 35, berkata, dia bersama dua adiknya, Hazwani Hawa, 33, dan Hasniza, 26, serta ibu saudara mereka, Fazlina Ayob, 43 menyediakan sendiri lebih 500 pek makanan bermula jam 12.30 tengah hari setiap Sabtu dan Ahad.
Menurutnya, idea tercetus selepas melihat sendiri sambutan masyarakat selain tidak ramai yang memperkenalkan konsep sebegitu di sini.
"Dengan keadaan ekonomi sekarang, kami juga ingin membantu orang ramai khususnya ibu bapa untuk membeli menu kegemaran mereka dengan harga murah.
"Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif dan ada yang terkejut kerana kuantiti makanan dalam setiap pek disediakan banyak selain harganya yang murah," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Hasniwati, buat masa ini mereka hanya dapat berniaga setiap Sabtu dan Ahad di bandar Temerloh manakala Isnin hingga Jumaat di Lanchang.
"Memang ada permintaan untuk tambah hari untuk kami buka gerai tapi dengan kekangan tenaga yang ada, agak sukar untuk kami penuhi permintaan pelanggan buat masa sekarang.
"Setakat ini, kami menyediakan sendiri semua menu dan tidak membuka kepada vendor atas pelbagai faktor antaranya kasihan jika makanan tidak habis," katanya yang turut berhasrat untuk membuka cawangan di Mentakab.
Sementara itu, pelanggannya, Aina Abdullah, 35, memuji usaha tersebut kerana ia dapat membantu ibu bapa sepertinya berjimat cermat selain dapat menikmati makanan Barat dan juga menu-menu makanan yang popular pada masa ini.
"Saya kali pertama datang ke sini dan banyak pilihan yang boleh dicuba," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Bagi Nor Syakila Jamin, 32, pula memberitahu dia mengetahui harga dan menu yang ditawarkan menerusi Facebook.
"Jadi saya datang ke sini untuk cuba makanan yang dijual. Harga murah sebegini memang kami sebagai pelanggan sangat hargai kerana dapat bantu menikmati menu kegemaran masing-masing," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!