Novel Doppelganger ambil masa lapan tahun untuk terbitkan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Novel seram terbaharu terbitan Buku Prima bertajuk Doppelganger mengambil masa selama lapan tahun untuk disiapkan dan diterbitkan.
Novelis, Nurul Syahida Kamarudin mengakui gaya penulisan pada peringkat awal diubah mengikut selera kumpulan sasaran yang terdiri daripada pembaca dewasa.
“Lapan tahun juga saya tunggu novel seram ini diterbitkan, banyak proses perlu dilakukan untuk mencetaknya.
“Pada mulanya, saya menulis buku ini untuk penceritaan remaja tetapi editor minta saya ubah kepada kumpulan dewasa.
“Oleh itu, ia mengambil masa lama untuk diterbitkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika sesi temu mesra novelis semasa Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Ahad.
Karnival tersebut berlangsung selama 10 hari bermula 25 Januari hingga 4 Februari yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Pengunjung berpeluang menerima potongan diskaun bagi tajuk buku terpilih dan cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,500
Dalam pada itu, Nurul Syahida berkata, novel tersebut mengisahkan pelajar asrama menghabiskan kelas persediaan pada waktu malam dengan kisah-kisah seram.
Tambahnya, ia menjadi satu lagenda bagi pelajar yang pernah menetap di asrama penuh mahupun harian.
“Seorang pemuda bernama Hadi dan gadis yang mahu digelar sebagai Dot yang main peranan besar serta beri impak kepada kedua-duanya.
“Kisah-kisah seram ini juga kebanyakkan daripada saya sendiri yang pernah duduk di asrama penuh,” jelasnya.
Katanya lagi, sepanjang tempoh penyediaan novel itu, sebanyak empat novel dengan genre berbeza berjaya dihasilkan supaya penantian itu tidak menjadi sia-sia sehingga boleh merosakkan perjalanan kariernya.
“Novel yang tertangguh ini sebenarnya buku ke-12 saya. Jadi, sementara nak tunggu pihak editor menyemaknya, saya menulis juga buku-buku lain.
“Banyak yang boleh kita jadikan inspirasi dengan pemerhatian atau kisah benar yang diceritakan oleh kawan-kawan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!