Dadah RM1.8 juta dalam peket serbuk minuman


Kumar (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis ekstasi yang dijadikan serbuk minuman seperti berperisa koko ketika sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
Kumar (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis ekstasi yang dijadikan serbuk minuman seperti berperisa koko ketika sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM1.8 juta selepas melakukan serbuan berasingan di dua buah rumah sekitar daerah ini pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, serbuan menerusi Ops Tapis itudijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor pada jam 4 pagi sehingga 4.30 petang di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Menurutnya, dalam serbuan ini lima lelaki tempatan yang berusia 17 sehingga 31 tahun berjaya ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah.

"Dadah tersebut dipeketkan dalam serbuk minuman berperisa buah-buahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa

"Mereka juga ada taktik baharu menggunakan serbuk dipercayai ekstasi berwarna coklat.

"Ini taktik lain daripada lain dan merupakan inovasi tinggi sindiket, namun kita sentiasa bersiap sedia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini pada Ahad.


Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan di dua buah rumah sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 29 Januari lalu.
Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan di dua buah rumah sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 29 Januari lalu.

Beliau berkata, rampasan dadah itu melibatkan serbuk ekstasi sebanyak 368 peket seberat 23.68 kilogram (kg) bernilai RM1,738,420 dan lima peket ketamin seberat 997.40 gram (g) bernilai RM59,724.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk tiga peket ganja seberat 193.50g bernilai RM1,935, sebanyak 1,490 biji pil Eramin 5 bernilai RM11,920 dan 41 biji pil ekstasi bernilai RM902.

"Pihaknya turut merampas pelbagai peralatan membungkus serbuk ekstasi selain melakukan sitaan terhadap dua kereta bernilai RM25,000," katanya.

Kumar memberitahu, jumlah rampasan dadah berkenaan berjumlah RM1,812,901 yang boleh digunakan seramai 85,658 penagih.

Katanya, nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi tersebut berjumlah RM1,837,901.

"Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah teres sebagai stor penyimpanan dan membungkus dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Kegiatan sindiket pengedaran dadah ini sudah aktif beroperasi sejak Julai 2023," ujar beliau.


Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan di dua buah rumah sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 29 Januari lalu.
Antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan di dua buah rumah sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati empat daripadanya positif dadah jenis ketamin manakala hasil semakan rekod lampau mendapati tiga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Semua suspek katanya, direman selama seminggu bermula 30 Januari sehingga 5 Februari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara itu, Kumar berkata, bermula 1 Januari sehingga Khamis, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor membuat tangkapan seramai 2,379 orang atas pelbagai kesalahan selain merampas 251.50 kg dadah.

Tambah beliau, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM6.40 juta dan dalam tempoh berkenaan pihaknya turut melakukan sitaan harta sindiket RM2.68 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!