Perang AS-Britain, Huthi makin sengit
SANAA - “Serangan udara Amerika Syarikat (AS) bersama Britain tidak akan menghalang kebangkitan kami.” Kata kenyataan itu dikeluarkan Huthi pada Ahad.
Malah, kumpulan pejuang berpusat di Yemen itu berikrar untuk bertindak balas selepas puluhan sasaran dibedil Washington dan London sebagai respons terhadap serangan berulang di perairan Laut Merah.
Ia merupakan operasi ketiga dilancarkan kedua-dua pasukan tentera tersebut ke atas Huthi setelah kumpulan itu melancarkan serangan ke atas kapal komersial yang ada kaitan dengan Israel sebagai tanda solidariti dengan penduduk Gaza.
Pada Sabtu, AS dan Britain terus memperhebatkan operasi mereka dengan membedil 36 sasaran Huthi di 13 lokasi di Sanaa.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berkata, serangan itu yang turut dibantu beberapa negara lain bertujuan untuk menjejaskan keupayaan senjata milik Huthi yang disokong Iran.
Sementara itu, jurucakap kumpulan itu, Yahya Saree memaklumkan lokasi bedilan itu adalah di ibu kota dan kawasan dikawal pejuang Huthi.
“Musuh melancarkan hampir 50 serangan udara. Kami tidak berasa tergugat malah akan terus menyokong penduduk Palestin di Genting Gaza. Kami juga tidak akan berdiam diri,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Perintah AS (Centom) mengumumkan mereka membedil beberapa misil antikapal milik Huthi yang bakal dilancarkan ke atas kapal di Laut Merah.
Perang Huthi bersama AS-Britain semakin sengit sejak bulan lalu setelah pejuang tersebut mula menyasarkan laluan perkapalan penting di Laut Merah pada November lalu.
Huthi dengan lantang memberitahu kepentingan AS dan Britain juga menjadi 'sasaran sah' mereka. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!