‘Kami menjunjung politik nilai, utamakan rakyat’ - Pengerusi PDI-P
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Muda Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Malaysia akan terus menjunjung politik dan akan terus memberi keutamaan kepada rakyat bagi meneruskan legasi peninggalan Presiden Jokowi demi kesejahteraan Indonesia.
Presidennya, Mansurni Abadi berkata, walaupun terdapat dakwaan mengenai keretakan hubungan antara pengerusi parti, Megawati Sukarnoputri dan Jokowi, namun perkara itu bukan masalah besar kerana pembangunan negara serta kebajikan rakyat menjadi keutamaan mereka.
Menurutnya, kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2024 kali ini tidak melibatkan masalah peribadi antara kedua-duanya kerana fokus utama adalah untuk memenangi hati rakyat Indonesia.
“Kami membawa nilai politik kebangsaan dengan memberi keutamaan kepada masyarakat dan menekankan kebijaksanaan dalam memimpin negara menuju kemakmuran Indonesia.
“Apa yang dilakukan oleh Jokowi itu salah, tetapi kami tidak pernah menafikan sebarang jasa beliau terhadap negara.
“Pemimpin itu bukan hanya posisi, tetapi apa yang ditinggalkan sebagai legasi, itu yang kita perlu pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka Pilpres 2024: Indonesia Pilih Siapa? di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
Program yang menampilkan Amin Idris selaku moderator itu bakal mengetengahkan tiga wakil pasukan calon Presiden (Capres) Pilpres, terdiri daripada orang-orang muda yang bakal memberi penjanaan semula dimensi politik Indonesia dan Malaysia.
Turut hadir pasukan bagi calon Presiden Anies Baswedan akan diwakili oleh Ketua Parti Nasional Demokrat (NasDem) Malaysia, Tengku Adnan Tengku Azlan dan Ketua AMIN Muda Malaysia (Tim Sukses), Sayyid Sanjaya Nur Wakhid.
Calon Presiden, Prabowo Subianto diwakili oleh Ketua Parti Amanat Nasional (PAN) Malaysia, Muliadi Baharuddin Yusuf dan Ketua Parti Solidaritas Indonesia (PSI) Malaysia, Mahfud Budiono
Sementara itu, Ketua Parti Perindo Malaysia, Muhammad Tohong Hasibuan berkata, sentimen politik yang berlaku tidak menghalang mana-mana pihak untuk meneruskan misi menuju ke arah keunggulan Indonesia.
Ujarnya, konsep pembangunan dalam segala bidang adalah penting bagi memacu ekonomi selaras dengan prinsip nasional negara.
“Kita memerlukan figura pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan kebolehan dalam mengemudi negara.
“Sosok calon presiden Ganjar Pranowo dan Mahfud MD tidak asing lagi dalam dunia politik, oleh itu kombinasi kedua-duanya amat sesuai dan akan membawa kepada keunggulan Indonesia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!