Keluarga lelaki maut didakwa diserang anggota polis mahu keadilan
ALOR SETAR - Seorang adik kepada mangsa yang meninggal dunia dan didakwa diserang anggota polis ketika ditahan di Langkawi Isnin lalu, menuntut pembelaan di atas kematian lelaki tersebut.
Salwana Salleh dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat mengesahkan kematian abangnya, Mohd Hafiz Salleh.
Jenazah abangnya itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini, bagi proses bedah siasat dan dibawa pulang semula ke Langkawi untuk urusan pengebumian.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan terhadap kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Langkawi dan video kejadian kini telah tular.
“Kami mahu hak keadilan untuk Mohd Hafiz. Doakan abang saya, doakan keadilan untuk arwah," katanya yang dipetik di media sosialnya.
Sejak beberapa hari lalu tular sebuah video beberapa individu dipercayai anggota polis cuba menahan seorang lelaki dipercayai Mohd Hafiz dengan cara yang dianggap keterlaluan.
Seorang pengguna Facebook, Putera Aizo pula mendakwa mangsa meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dirawat selama dua hari dirawat di ICU Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Dakwanya, kejadian itu berlaku semasa serbuan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi di stesen minyak di Ayer Hangat pada 29 Januari lalu.
"Pergelutan antara mangsa dan polis berlaku selama beberapa minit, mangsa cedera parah di kepala dan bahagian lain serta terpaksa dimasukkan ke ICU kerana koma.
"Arwah menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari lalu selepas dua hari bertarung nyawa. Dia dikebumikan di Kampung Ewa, Langkawi. Al-Fatihah," tulisnya.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan masih belum dapat setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!