Gempur lubuk PATI di kampung
SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa untuk memperhebatkan serbuan ke atas lubuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan pedalaman kerana jumlahnya yang masih tinggi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penduduk di sekitar Lembah Klang masih kurang berpuas hati dengan hasil serbuan yang dibuat oleh penguat kuasa kerana didakwa belum dilakukan secara menyeluruh.
Pesara, Ismail Abu, 60, berkata, jumlah warga asing di kawasan tempat tinggalnya masih berada pada tahap yang membimbangkan malah kebanyakan peniaga di pasar terdiri daripada golongan PATI.
"Di pasar, mereka yang meniaga di situ terlalu ramai sampai nak cari peniaga Melayu pun susah. Mungkin mereka diberikan gaji untuk jaga gerai tetapi perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
"Ada antara mereka yang berani menjual ayam mentah, kalau ikutkan mereka tak layak. Kita bimbang ayam itu tidak disembelih dengan cara betul. Kena hati-hati.
"Kalau boleh, pihak berkuasa kena datang ke kawasan pedalaman seperti di Meru. Di situ ramai sangat PATI dan kadangkala kita bimbang untuk biarkan anak-anak keluar berseorangan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Mohd Hazwan Nizam, 38, berharap serbuan dapat dilakukan secara berterusan dan bukan hanya memfokuskan lokasi hasil daripada aduan orang ramai sahaja.
"Kalau kita lihat sekarang tindakan itu dilakukan di kawasan tertentu saja. Pihak berkuasa perlu tingkatkan penguatkuasaan dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada PATI.
"Kebanyakan daripada golongan ini, mereka sebenarnya bawa banyak masalah seperti kecurian, kes rogol dan culik. Jadi, serbuan perlu dibuat secara menyeluruh," ujar beliau.
G Kanan, 53, pula berkata, tindakan tegas yang dilakukan secara berterusan akan membuktikan bahawa perundangan Malaysia serius membanteras kemasukan PATI.
"Mungkin mereka juga tidak berani lagi untuk menyelinap masuk ke dalam negara," katanya.
Mengulas lanjut, suri rumah, Siti Mohd, 60 meluahkan rasa bimbang dengan jumlah PATI di kawasan tempat tinggalnya kerana sudah banyak kes kecurian berlaku melibatkan golongan itu.
"Mereka pakai pakaian seperti orang Islam dan masuk ke masjid dan kita ingat mereka nak solat tetapi mencuri. Jadi, pihak berkuasa kalau betul nak 'bersihkan' PATI kena buat betul-betul.
"Teruskan buat serbuan, jangan berhenti selagi mereka ini (PATI) tidak dihapuskan secara menyeluruh," tambahnya.
Sementara itu, seorang pesara, Rahim Omar, 61, berkata, tindakan tegas juga perlu diambil kepada golongan berkenaan kerana ada dalam kalangan mereka sudah melampaui batas.
Ujarnya, PATI kini sudah berani mencari wang dengan mengambil bayaran di tempat parkir kenderaan atau tandas awam dan meminta pihak berkuasa memandang serius keadaan itu supaya ia tidak bertambah di kemudian hari.
Sabtu lalu, seramai 281 PATI ditahan menerusi Op Sapu yang dijalankan di Persiaran Raja Muda Musa, pekan Pelabuhan Klang.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pemeriksaan melibatkan 469 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Nepal, India, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar.
Daripada jumlah itu, seramai 228 lelaki dan 53 perempuan warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!