Pinjam along angkara ditipu pelaburan tidak wujud

Mangsa pelaburan tidak wujud membuat pinjaman along semata-mata mahu Mangsa membuat pinjaman daripada along semata-mata mahu menambah pelaburan yang disertainya. Gambar hiasan
Mangsa pelaburan tidak wujud membuat pinjaman along semata-mata mahu Mangsa membuat pinjaman daripada along semata-mata mahu menambah pelaburan yang disertainya. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kehidupan Shahrul, 30-an, sebelum ini agak mewah apabila menerima gaji mencecah sehingga RM4,000 sebulan.

Bagaimanapun, kehidupan indah itu berubah sekelip mata setelah Shahrul mula melaburkan wang simpanan miliknya berjumlah lebih RM50,000 dalam satu skim pelaburan tidak wujud setahun lalu.

Lebih malang lagi, Shahrul kemudiannya membuat pinjaman daripada along semata-mata mahu menambah pelaburan yang disertainya.

Mendedahkan kepada Sinar Harian, masalah kewangan mula membebani dirinya apabila dia diberhentikan kerja pada awal Januari lalu.

Shahrul pada mulanya mahu membuat pinjaman dengan pihak institusi kewangan yang sah namun gagal apabila didapati telah diberhentikan kerja selain mempunyai pelbagai komitmen bayaran lain.

Fikiran Shahrul kusut mengenangkan keadaan kewangannya yang semakin berkurangan mengakibatkan dirinya mengambil keputusan meminjam daripada along sebanyak RM50,000.

"Pulangan yang dijanjikan tidak saya terima, lebih malang lagi saya hilang pekerjaan selain perlu pula membayar kepada along.

"Tuhan sahaja yang tahu apa yang saya alami ini, namun saya sedar semua ini berlaku atas kesalahan diri sendiri, sedangkan isteri pernah nasihat agar saya tidak terjebak dengan pelaburan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahrul berkata, dirinya kini sedang mengumpul kekuatan untuk bangun semula dari kegagalan ini.

"Saya kini bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan, memang beza banyak dari gaji yang saya terima dahulu.

"Tapi nak buat macam mana, saya perlu wang untuk bayar hutang-hutang saya, mujurlah isteri dan keluarga banyak memberikan sokongan," katanya.

Jelasnya, sekiranya masa dapat diundurkan kembali tidak sesekali dirinya melabur dalam pelaburan berkenaan.

"Bagi saya, itu sertai pelaburan tanpa selidik terlebih dahulu merupakan kesilapan yang paling besar saya lakukan.

"Saya bukan sahaja libatkan diri sendiri malah kehidupan keluarga saya turut berubah sekelip mata gara-gara kesilapan yang saya lakukan ini," katanya.

Duit KWSP hangus gara-gara penipuan pelaburan

'Kalau dulu saya dengar nasihat isteri, mungkin tidak akan jadi sebegini.'

Itu antara luahan Salim, 60-an, yang menjadi mangsa gara-gara terjerumus dalam kegiatan penipuan pelaburan sejak setahun lalu.

Dia berkata, sifat tamaknya mengakibatkan dirinya sanggup menghabiskan seluruh simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur Jun tahun lalu.

"Saya sertai pelaburan berkenaan setelah melihat iklan menerusi media sosial, ditawarkan dengan pulangan berlipat kali ganda dari jumlah yang dilaburkan.

"Tanpa berfikir panjang, setelah dapat wang KWSP, saya terus labur lebih RM80,000 dalam skim pelaburan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, isteri menasihatinya agar menyemak terlebih dahulu akan kesahihan pelaburan terbabit.

"Namun, saya tidak ambil peduli akan nasihatnya dan meminta agar dia tidak masuk campur akan apa yang saya lakukan.

"Pada mulanya saya dijanjikan pulangan sekitar Ogos, bagaimanapun, bila saya semak baki akaun, ternyata tidak seperti yang dikatakan," katanya.

Menurutnya, dirinya mula runsing setelah mendapati tiada pulangan setelah beberapa bulan kemudian.

"Maklumat terakhir yang saya terima daripada syarikat berkenaan sekitar Oktober, mereka dakwa alami kerugian dan tak boleh bayar balik pelaburan yang kami sertai, saya berasa sangat-sangat tertipu.

"Sudahlah wang simpanan KWSP saya habis saya laburkan, saya kini pula disahkan mengalami tekanan," katanya.

Tambahnya, dirinya kini terpaksa menyara kehidupan dia dan isteri dengan bekerja sebagai penjaga parkir.

"Saya malu dengan diri sendiri atas apa yang berlaku ini, lebih-lebih lagi dengan isteri, dia hari-hari menyalahkan saya atas apa yang saya lakukan.

"Tapi saya nak buat macam mana, memang apa yang berlaku ini silap saya sendiri, bukan orang lain, kerana mahu kejar wang ringgit, habis simpanan saya untuk hari tua ini musnah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!