Suara sumbang perlu dikawal supaya tidak melampaui batas

Tony Pua
Tony Pua
A
A
A

SUDAH menjadi lumrah dalam berpolitik apabila ada suara-suara sumbang yang muncul dan mempertikaikan sesuatu isu sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Situasi sama juga berlaku apabila bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dengan nada sinis menyindir keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pembebasan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Sabtu, Dr Muhamad Akmal menegaskan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa siasatan terhadap Tony yang didakwa biadab ekoran mempertikaikan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Meneruskan sindiran berkenaan, Tony menyebut dirinya turut teruja dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberi 50 peratus pengurangan tempoh hukuman penjara dan denda kepada Najib.

Untuk rekod ini bukan kali pertama Tony Pua membuat kenyataan seperti ini, kerana beliau antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lantang bersuara berkenaan salah laku ketika era pentadbiran Najib.

Dari situ boleh dilihat betapa agresifnya suara sumbang yang dilontarkan itu terhadap pemerintahan sebelum ini.

Hasilnya, Tony Pua pada Ahad menyindir pula tindakan Dr Muhamad Akmal yang mahu membuat laporan polis susulan dakwaannya mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu juga secara sinis mengakui telah 'bertaubat' atas ketelanjuran yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Kesudahannya, Tony Pua akan dipanggil untuk merekodkan keterangan susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau berhubung isu tersebut, pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau berkata, Tony akan dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan kenyataan tersebut kira-kira jam 1 petang di Bukit Aman.

Sudah pasti suara-suara sumbang yang lain juga kedengaran apabila dibangkitkan isu melibatkan pembebasan Najib.

Namun, di bawah negara berdemokrasi seperti Malaysia ini, adalah lebih wajar sekiranya suara sumbang itu dikawal dan tidak melampaui batas tertentu sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!