Benarkan graduan asing bekerja atasi kekurangan tenaga - SAMENTA

Pulau Pinang mengalami kekurangan sebanyak 50,000 tenaga jurutera dan juruteknik.Gambar hiasan 123RF
Pulau Pinang mengalami kekurangan sebanyak 50,000 tenaga jurutera dan juruteknik.Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan untuk membenarkan graduan asing bekerja bagi mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja yang kronik, terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

Dalam kenyataannya pada Ahad, Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, ini memandangkan bilangan penuntut asing dalam pengajian kejuruteraan dan teknikal adalah kurang daripada 20,000 orang.

"Jika separuh daripada mereka tamat pengajian setiap tahun dan hanya 10 peratus memilih untuk kekal dalam bidang itu dan bekerja, ini bermakna kurang daripada 700 jurutera dan juruteknik yang boleh diambil bekerja.

"Oleh itu, tidak masuk akal untuk menganggap ini boleh menjejaskan peluang bagi rakyat tempatan.

"Sebaliknya, langkah melaksanakan penyediaan bakat tambahan secara cepat ini dapat menyakinkan pelabur asing dan tempatan untuk terus berada di sini dan menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan yang lebih besar bagi rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

William berkata, SAMENTA turut menganggarkan bahawa Pulau Pinang mengalami kekurangan sebanyak 50,000 tenaga jurutera dan juruteknik yang hanya merencatkan pertumbuhan dalam industri semikonduktor, pembuatan serta logistik.

"Jika Jemaah Menteri meluluskan permintaan pihak industri yang telah lama disuarakan untuk membolehkan penglibatan penuntut asing dalam sektor ekonomi dan pengkhususan yang kritikal, Malaysia akan menyertai kelompok negara-negara maju seperti Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom untuk membenarkan graduan/penuntut asing bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.

"Malah, negara-negara maju itu yang mengambil tenaga kerja kita setiap hari. Jika mahu kekal kompetitif, kita juga perlu mempertimbang langkah untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja utama ini di Malaysia -- bermula dengan penuntut asing yang tamat pengajian," katanya.

Artikel Berkaitan:

William berkata visa pengambilan kerja selepas tamat pengajian lazimnya bersifat sementara, tempoh tidak diperbaharui dan tiada industri atau kerja khusus.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kebimbangan pengambilan graduan asing ini akan menjejaskan pasaran kerja atau menyebabkan tenaga kerja tempatan terpinggir, sebagai satu tuduhan yang tidak berasas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!