Seorang lagi tahanan lolos maut kemalangan, 75 masih dikesan
TAPAH - Polis mengesahkan seorang lagi tahanan yang meloloskan diri dari depot Imigresen Sementara Bidor maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 332.5 Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan di sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian sekitar jam 9.20 malam itu melibatkan sebuah pikap yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat.
"Pegawai Jabatan Imigresen yang hadir mengesahkan mangsa adalah salah seorang tahanan yang melarikan diri dari depot," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri berkata, penahanan tiga lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadikan jumlah yang ditangkap kini adalah 54 orang.
"Seorang tahanan etnik Rohingya di Felcra Jalan Kachu sekitar jam 9.45 malam pada Ahad manakala dua lagi lelaki pada Isnin di KM 327 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dan Batu 2, Jalan Pahang di sini.
"Jumlah yang ditangkap seramai 54 orang, dua maut akibat kemalangan jalan raya dan baki tahanan yang lolos seramai 75 orang," katanya.
Pada Khamis media melaporkan seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!