TFC guna khidmat enam import musim ini

Nurillo Tukhtasinov (kiri) dan Ivan Mamut antara enam tonggak import TFC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Nurillo Tukhtasinov (kiri) dan Ivan Mamut antara enam tonggak import TFC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) hanya akan menggunakan enam pemain import bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdb Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, ia sebagai langkah penjimatan kelab dalam menghadapi perjalanan musim yang panjang kali ini iaitu bermula Mac hingga Mei tahun depan.

Mohd Sabri berkata, tonggak sedia ada ialah Ivan Mamut, Nurillo Tukhtasinov dan Argzim Redzovic manakala tiga lagi pemain baharu akan diumumkan sebelum bermulanya sesi latihan pertengahan bulan ini.

"Kita bukan mahu penuhi kuota (pemain import) tetapi tengok kepentingan posisi pemain. Malah kita yakin pemain tempatan mampu bersaing dengan kelompok pemain import di Liga M.

"Import ASEAN juga kita tak ambil musim ini. Kekuatan TFC kita ada 'squad depth'....pemain cukup berpotensi (beraksi) di setiap posisi," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara TFC dengan Hijraa Management Sdn Bhd di sini, malam Ahad.

Dalam pada itu Mohd Sabri berkata, tiga pemain muda dari pasukan Terengganu FC ll (TFC ll), termasuk Muhammad Faris Rifqi Abdul Rashid, Safwan Mazlan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang beraksi di posisi pertahanan, akan dinaikkan pangkat ke pasukan 'abang' (TFC) musim ini.

Menurut beliau, tiga tonggak berkenaan telah menunjukkan prestasi cemerlang dan diberi peluang beraksi bersama pasukan utama musim lepas.

"Faris Rifqi bermain di posisi tengah, Safwan pertahanan tengah dan Ubaidullah juga di bahagian pertahanan. Ketiga-tiga pemain ini cukup menyerlah musim lalu.

Artikel Berkaitan:

"Malah Safwan dan Ubaidullah seringkali diberi peluang oleh ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner beraksi di kesebelasan utama pasukan sepanjang musim lalu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Mohd Sabri berkata, TFC berjaya mengumpul 23 penajaan bernlai RM7 juta dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan musim ini dan pihaknya masih memerlukan lebih banyak penajaan untuk memperkukuh dan melancarkan perjalanan kelab bagi musim 2024/2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!