Suspek langgar anggota polis sudah dikenal pasti
LUMUT - Polis telah mengenal pasti pemandu kereta Proton Iriz yang terlibat melanggar anggota dalam kejadian di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, usaha mengesan lelaki itu sedang dilakukan dan pihaknya percaya suspek akan diberkas dalam masa terdekat.
Menurut beliau, keadaan anggota berpangkat lans koperal berusia 34 tahun itu bagaimanapun dilaporkan stabil.
"Saya terkejut dan sedih kerana kejadian berlaku ketika anggota berkenaan sedang bertugas membuat rondaan cegah jenayah.
"Tindakan suspek melanggar anggota saya menyebabkan dia mengalami kecederaan amat serius dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Pasukan telah digerakkan bagi menjejaki suspek dan kita telah pun kenal pasti dia. Dalam masa terdekat kita akan kesan suspek tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir, di sini pada Isnin.
Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis parah dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor pada malam Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, mangsa bersama rakan setugasnya menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Suspek bagaimanapun bertindak melanggar mangsa sebanyak dua kali dengan mengundur kenderaan sebelum memecut melarikan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!